BELANJAWAN 2024 > BERITA

'Robin Hood' Terengganu Kuasai Acara Memanah SUKMA 2024

24/08/2024 01:39 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Kem Robin Hood Terengganu muncul juara keseluruhan acara menerusi pencapaian cemerlang pemanah muda berkualiti pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya di sini.

Pasukan Terengganu meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa diikuti Wilayah Persekutuan (dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa) dan Perak (dua pingat emas, lima gangsa) dalam persaingan yang berlangsung selama enam hari bermula 19 Ogos.

Berkongsi kejayaan pasukan, jurulatih memanah Terengganu Lutfil Hadi berkata pemanah negeri itu didedahkan dengan latihan dalam situasi berangin yang memberikan kelebihan kepada pasukan untuk menyiapkan diri berdepan dengan perubahan cuaca ketika beraksi di kejohanan.

“Keadaan persekitaran di Kuala Terengganu berangin dan sering berlaku perubahan cuaca. Situasi itu membantu pemanah Terengganu lebih kuat dan tidak goyah jika keadaan angin tidak menentu ketika menyertai kejohanan seperti SUKMA.

“Alhamdullilah, atlet memanah melepasi sasaran ditetapkan Majls Sukan Negeri (MSN), pemanah muda negeri menunjukkan prestasi yang positif, bagi persiapan SUKMA akan datang, skuad memanah negeri ada separuh lagi atlet negeri yang masih boleh beraksi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata skuad memanah negeri menjalankan pelbagai program peringkat akar umbi bagi mencari bakat baharu untuk menyertai kejohanan lain termasuk SUKMA pada masa akan datang.

Bagi menghadapi SUKMA 2026, katanya kem memanah negeri itu akan menjalani latihan insentif dalam tempoh dua minggu akan datang.

Secara keseluruhan pemanah Terengganu meraih pingat emas dalam acara 50 meter (m) compound individu wanita, 70m recurve individu lelaki, recurve campuran, compound campuran dan compound lelaki berpasukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan