BELANJAWAN 2024 > BERITA

Juara SUKMA 2024 Bukti Sarawak Komited Pembangunan Atlet Akar Umbi

25/08/2024 10:24 AM

Oleh Farah Najihah Zuraimi dan Nursyabiha Sukri

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Kejayaan muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 membuktikan komitmen Sarawak dalam pembangunan sukan melalui pelaburan program latihan, penyediaan kemudahan bertaraf tinggi dan sokongan berterusan dalam melahirkan bakat baharu.

Ketua kontinjen Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kejayaan itu juga mencerminkan usaha dalam memperkukuh asas sukan di peringkat akar umbi dan mempersiapkan generasi atlet akan datang bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Tahniah kepada atlet negeri. Kita yakin dengan kemenangan ini, dalam menjayakan 37 sukan, ia bukan perkara mudah untuk menyediakan semua atlet bertanding di platform yang kompetitif. 

"Saya berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Majlis Sukan Negeri Sarawak yang mempersiapkan atlet kita dalam menghadapi SUKMA ini," katanya kepada Bernama.

Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA 2024 dengan pencapaian 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa berkelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan.

Kejayaan tersebut merupakan kali keempat selepas muncul juara edisi 1990, 1992 dan 1994. 

Dalam pada itu, beliau merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri menyifatkan kejayaan kontinjen negeri juga didorong sokongan penuh seluruh rakyat Sarawak termasuk semangat kesukanan ditonjolkan oleh semua atlet yang berbilang kaum.  

Sementara itu, Gerald berkata pihaknya sentiasa komited melahirkan lebih banyak atlet negara yang mampu menggalas cabaran ke peringkat antarabangsa terutama dalam acara terjun dan renang.

"Ini kerana kerajaan negeri sentiasa berusaha menaik taraf dan memelihara kemudahan sedia ada bagi memastikan ia selesa untuk kegunaan atlet selain mampu menjadi venue kepada kejohanan yang akan diadakan di Bumi Kenyalang.

“Kita inginkan supaya (kemudahan) ini dapat digunakan untuk melahirkan bakat baharu terutamanya bagi menjayakan Sukan SEA 2027 nanti,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah temasya sukan serantau itu pada 2027. 

Anwar berkata keupayaan Sarawak untuk menjadikan SUKMA 2024 sebagai antara penganjuran temasya sukan terbaik pernah diadakan, membuatkan beliau bersetuju memberikan tanggungjawab sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan