BELANJAWAN 2024 > BERITA

Komentar Malaysia: Ekonomi Berkembang Pesat, Rakyat Makmur

25/08/2024 10:44 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin & Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Prestasi ekonomi Malaysia terutamanya pertumbuhan pesat pada suku kedua yang mengatasi jangkaan bukan sahaja mencerminkan daya tahan ekonominya tetapi turut membuktikan bahawa dasar-dasar yang dikritik sebelum ini mula menampakkan hasil.

Lebih memberangsangkan ialah nilai ringgit yang meningkat, kehematan fiskal melalui kawalan ketat kerajaan terhadap inflasi dan hutang serta pelaburan langsung domestik dan asing yang meningkat telah mendapat sokongan daripada agensi penarafan, yang mengukuhkan sentimen perniagaan dalam pasaran Malaysia.

Sentimen positif ini telah menyebabkan penganalisis mengunjurkan ringgit mengukuh kepada RM4.25 berbanding dolar AS pada akhir 2024 dan berada antara RM4.00 dan RM3.94 pada akhir 2025.

Bagi kebanyakan negara, dasar ekonomi ternyata mengambil masa untuk mendapat manfaatnya, terutama apabila risiko geopolitik mengganggu pertumbuhan.

Namun, bagi Malaysia, ia boleh beralih kepada pertumbuhan yang meningkat dan kemakmuran baharu. 

Ini berdasarkan dasar komprehensif yang berpandangan ke hadapan mengenai tenaga bersih dan tenaga boleh baharu, insentif untuk menarik pelaburan dalam semikonduktor serta tahap penggunaan dan pelaburan domestik yang terus baik.

Gabungan ini memberi prospek yang baik kepada rakyat dari segi peningkatan peluang pekerjaan dan pendapatan.

Sentimen pelabur adalah positif melalui aliran masuk asing yang meningkat ke pasaran ekuiti dan bon. 

Penganalisis berpendapat bahawa ekonomi Malaysia telah lama sinonim dengan dinamisme, kepelbagaian dan keupayaan untuk menyesuaikan dengan keadaan serta menunjukkan ciri-ciri yang sama pada masa ini.

Bagi menjadikannya lebih kukuh, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah berani dan pembaharuan yang telah meningkatkan pertumbuhan dengan ketara selain pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat.

Pertumbuhan ekonomi ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ringgit, sejajar dengan prestasi pasaran saham yang kukuh.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan memuji inisiatif kewangan berhemat yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata komitmen kerajaan terhadap tanggungjawab fiskal, seperti yang dapat dilihat melalui Akta Tanggungjawab Kewangan dan had 60 peratus ke atas jumlah hutang kerajaan, telah mengukuhkan rangka kerja perundangan kewangan awam.

Ternyata, ini amat penting dalam mewujudkan keyakinan dalam kalangan perniagaan asing dan agensi penarafan.

Di samping itu, pendekatan menyeluruh kerajaan terhadap pembangunan ekonomi yang diterapkan di bawah Ekonomi MADANI seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Gaji Progresif, telah mewujudkan impak sinergi terhadap ekonomi.

“Akta Tanggungjawab Kewangan memastikan kemampanan kewangan manakala langkah-langkah fiskal memacu keseluruhan pertumbuhan.

“Dengan berjaya melaksanakan langkah-langkah untuk mencapai sasaran sedia ada, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada di bawah 0.75 peratus menjelang 2025, menarik FDI sebanyak RM300 bilion menjelang 2025 dan meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK kepada 22.4 peratus menjelang 2025, Malaysia secara tidak langsung berada dalam kedudukan yang baik untuk kemajuan ekonomi masa depan,” katanya.

Beliau berkata keyakinan ini telah mendorong UOB Kay Hian Wealth Advisors menyemak semula unjuran pertumbuhan Malaysia bagi 2024 daripada 4.2 peratus kepada 5.2 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2023.

Ahli ekonomi terkemuka Dr Yeah Kim Leng bersetuju bahawa ekonomi berada pada trajektori meningkat. 

Dr Yeah, yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berterusan pada suku tahun akan datang didorong oleh penggunaan domestik dan pelaburan, membantu mengimbangi permintaan luaran yang kurang kukuh.

Selain ekonomi berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024 berikutan peningkatan perbelanjaan isi rumah sebanyak 6.0 peratus, faktor kukuh lain termasuklah eksport yang pulih sebanyak 5.8 peratus, ketibaan jumlah pelancong yang lebih tinggi kepada 6.0 juta orang serta pelaburan yang kukuh terutamanya dalam aktiviti pembinaan. 

Terdapat peningkatan dalam industri elektronik dan elektrik serta pusat data di seluruh negara sebanyak 17.3 peratus.

Di samping itu, Indeks Pelopor yang lebih tinggi, kaedah yang digunakan untuk mengunjurkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan menunjukkan kemampanan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa pendek.

 

PELABURAN LANGSUNG ASING MENINGKAT 

Malaysia menawarkan iklim pelaburan yang menggalakkan dengan beberapa pelaburan besar daripada peneraju teknologi global seperti NVIDIA, Google, Microsoft dan Infineon yang diumumkan sejak Disember 2023 jelas menunjukkan kecenderungan pelabur asing.

Terkini ialah Amazon Web Services (AWS), anak syarikat Amazon.com Inc yang mengumumkan pelancaran wilayah infrastruktur AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) dan merancang pelaburan kira-kira US$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038, merupakan berita baik untuk negara.

Pelaburan dan angka-angka ini adalah komitmen daripada pelabur asing itu.

Ini jelas menunjukkan sokongan yang kuat terhadap dasar proaktif kerajaan MADANI dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus untuk Malaysia.

Ini telah diperkukuhkan lagi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM83.7 bilion dalam pelbagai sektor antara Januari dan Mac 2024, meningkat 13 peratus daripada RM74.1 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pelaburan asing menyumbang 56.2 peratus atau RM47 bilion daripada jumlah pelaburan dan pelaburan domestik membentuk baki 43.8 peratus atau RM36.7 bilion, merupakan perkara yang baik berikutan ia mencerminkan keseimbangan dalam pelaburan antara FDI dan DDI.

Melangkah ke hadapan, Malaysia memperjuangkan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu untuk membina ekonomi berdaya tahan yang akan berkembang pesat bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi akan datang.

 

RINGGIT HAMPIRI PARAS OPTIMUM, DANA ASING KEMBALI KE BURSA MALAYSIA

Selain nada positif dalam kalangan bank-bank pusat di peringkat global, beberapa faktor utama domestik turut mendorong pengukuhan ringgit serta peningkatan di Bursa Malaysia, kata Mohd Sedek.

Ini termasuk lebihan akaun semasa Malaysia yang berterusan, dipacu oleh imbangan perdagangan barangan yang kukuh dan pemulihan sektor pelancongan yang terus mengukuhkan mata wang tempatan.

Bagi tempoh Januari-Julai 2024, perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 9.8 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM1.652 trilion yang merupakan nilai tertinggi dicatatkan bagi jangka masa itu.

Eksport misalnya naik tumbuh sebanyak 5.1 peratus kepada RM862.23 bilion manakala import meningkat 15.5 peratus kepada RM789.71 bilion dalam tempoh tujuh bulan berkenaan yang membawa kepada lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion.

Berdasarkan dinamik pasaran, Mohd Sedek percaya ringgit diniagakan hampir ke paras optimum RM4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Analisis ekonometrik ini menggunakan model pembetulan ralat vektor (VECM) yang mengambil kira pembolehubah kawalan dan pengasingan impak ekonomi China, memberi asas memberangsangkan bagi pemahaman kaitan antara ringgit dan kadar faedah utama Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Oleh itu, sekiranya pihak Fed melaksanakan penurunan kadar faedah yang konsisten pada setiap mesyuarat, dolar AS akan lemah dan hanya memberi kesan (pengukuhan) seterusnya kepada ringgit," katanya.

Beliau berkata dengan mengandaikan senario asas penurunan 25 mata asas tahun ini dan disusuli dengan tiga pengurangan berjumlah 75 mata asas pada 2025, ringgit berkemungkinan mengukuh ke paras RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024 dan dalam julat RM4.00 hingga RM3.94 menjelang akhir tahun depan.

Dalam pada itu, Dr Yeah berkata ringgit mencatat kenaikan memberangsangkan sejak Julai 2024 yang menyaksikannya diniagakan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan selain prestasinya yang mengatasi mata wang serantau lain dari segi perbandingan dengan dolar AS.

Setakat 20 Ogos, 2024, ringgit menokok 4.85 peratus berbanding kenaikan lebih kecil dolar Singapura (+1.16 peratus) dan penurunan mata wang serantau lain (yuan China: -0.41 peratus, baht Thailand: -0.19 peratus, rupiah Indonesia: -0.70 peratus, won Korea Selatan: -3.20 peratus).

“Prestasi ringgit itu memaparkan beberapa tahap pemulihan terhadap faktor luaran dan sentimen lemah yang menjejaskan mata wang itu pada tahun ini.

“Peningkatan ringgit juga boleh dikaitkan dengan kejelasan hala tuju dasar kadar di negara-negara maju yang telah mula bertindak mengurangkan kadar faedah,” katanya.

Pihak Bank of England bertindak mengurangkan kadar sebanyak 25 mata asas daripada 5.25 peratus kepada 5.00 peratus pada Ogos 2024 manakala Bank Pusat Eropah menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas daripada 4.00 peratus kepada 3.75 peratus pada Jun 2024.

Berikutan itu, perbezaan kadar faedah telah mengecil berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia di paras 3.00 peratus sehingga Julai 2024.

 

PENINGKATAN ALIRAN MASUK DANA KE PASARAN EKUITI, BON

Aliran masuk dana asing ke pasaran ekuiti dan bon Malaysia berjumlah RM50.9 juta pada separuh pertama 2024.

Data baru-baru ini menunjukkan aliran sebaliknya berbanding aliran keluar sebelum ini daripada pasaran ekuiti yang menyaksikan aliran masuk asing bersih sebanyak RM1.3 bilion pada Julai 2024.

“Pasaran bon domestik mencatat aliran masuk RM874.6 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang membuktikan berlakunya aliran masuk selanjutnya," kata Mohd Sedek.

Pada awal minggu ini, indeks petunjuk utama FBM KLCI mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun apabila mengakhiri dagangan pada paras 1,652.49, sekali gus mencerminkan peningkatan minat pelabur untuk saham domestik.

Setakat ini, indeks penanda aras itu telah meningkat sebanyak 12.45 peratus, malah ditutup mencecah paras 1,635.74 pada Jumaat (23 Ogos, 2024).

 

MALAYSIA PERLU KEKALKAN MOMENTUM EKONOMI

Bagi mengekalkan momentum ekonomi ini, Malaysia tidak harus mensia-siakan peluang yang ada dan menumpukan usaha meningkatkan transformasi digital dan inovasi, khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan tenaga hijau, kata penganalisis.

Di samping itu, mereka juga percaya pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja menerusi program pendidikan dan latihan, akan memastikan kelompok pekerja mahir yang menepati permintaan industri.

“Malaysia juga perlu mengembangkan lagi inisiatif ekonomi hijau selain menawarkan insentif bagi projek tenaga boleh baharu untuk menarik pelabur yang mementingkan alam sekitar,” kata mereka.

Usaha mempelbagaikan perkongsian perdagangan dan pelaburan akan membantu mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada pasaran tunggal selain memantau aliran ekonomi global dengan lebih teliti.

Penganalisis juga berpendapat langkah pelarasan dasar monetari dapat membantu mengekalkan pengukuhan ringgit dan memastikan aliran modal serba stabil yang akhirnya membuka peluang bagi kemakmuran rakyat daripada ekonomi yang pesat berkembang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan