BELANJAWAN 2024 > BERITA

PABM Tidak Puas Hati Pencapaian Pelapis Kebangsaan Di SUKMA 2024

25/08/2024 03:21 PM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Sembilan rekod kebangsaan mungkin telah diperbaharui di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berakhir semalam, dan pencapaian ini sepatutnya menjadi khabar gembira buat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Bagaimanapun, kecemerlangan dipamerkan badang muda negara masih belum berjaya memuaskan hati PABM terutama membabitkan pencapaian atlet pelapis kebangsaan.

Perlis dan Terengganu sama hebat apabila masing-masing meraih empat daripada 16 emas yang ditawarkan pada edisi kali ini.

Badang Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin paling mencuri tumpuan apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam kategori 81 kilogram (kg) lelaki.

Atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan snatch 141kg, mengatasi rekod milik Nasir Roslan 140kg yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2021, sebelum melakukan dua lagi angkatan yang memadam rekod miliknya, 146kg dan terbaru 151kg.

Beliau seterusnya melakukan angkatan pertama clean & jerk 165kg sekali gus memecah rekod kebangsaan angkatan keseluruhan 316kg untuk memadam rekod lama Nasir 315kg.

Muhammad Hafizuddin seterusnya memecah rekod kebangsaan clean & jerk pada angkatan kedua dengan 176kg sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181kg menjadikan keseluruhannya 332kg.

Kategori wanita juga tidak kurang hebatnya apabila atlet Perak, Qharisya Suffia Mohd Muzani mencatat rekod kebangsaan baharu disiplin snatch dengan angkatan 65kg, clean & jerk (79kg) untuk mendominasi podium kategori 45kg dengan angkatan keseluruhan 144kg.

Sementara itu, Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat berkata penilaian semula akan dilakukan terhadap atlet pelapis yang tidak mencapai sasaran ditetapkan pada temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.

“Kita lihat angkatan keseluruhan sebenarnya kurang memuaskan. Kita juga sebenarnya agak terkilan apabila ada beberapa pelapis kebangsaan tidak dapat emas.

“Kita akan nilai semula prestasi mereka ini sama ada perlu bersaing dalam kategori lain dan juga kenapa pencapaian mereka di SUKMA ini tidak memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, PABM telah mengenal pasti beberapa atlet yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan antaranya Muhammad Hafizuddin yang menunjukkan prestasi membanggakan.

Ayub mengakui beliau kagum dengan penyertaan atlet-atlet muda pada SUKMA kali ini yang disifatkannya mempunyai masa depan cerah sekiranya diberikan latihan mencukupi serta berterusan.

“Kalau kita lihat pada edisi kali ini ramai atlet muda berusia sekitar 15 tahun ke atas. Jadi, saya harap mereka ini tidak terhenti di SUKMA sahaja dan perlu terus diberi ruang untuk mengembangkan lagi potensi mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan