BELANJAWAN 2024 > BERITA

Usaha Bantu Rakyat Palestin Sejajar Status Malaysia Sebagai Pejuang Kemanusiaan Sejagat

25/08/2024 09:11 PM

Oleh AHMAD ERWAN OTHMAN DAN TEH KUAN HONG

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Keputusan Malaysia untuk membawa 127 rakyat Palestin yang cedera dan keluarga mereka ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan, bukan sahaja selaras dengan dasar negara sejak sekian lamanya terhadap Palestin, tetapi juga memperkukuhkan lagi status negara sebagai pejuang kemanusiaan sejagat.

Penyelidik Bersekutu di Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Norafidah Ismail berkata selama beberapa dekad, Malaysia telah membantu beribu-ribu pelarian yang dihalau keluar dari negara asal mereka akibat konflik di negara masing-masing.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi penempatan sementara kepada pelarian, sebelum menghantar mereka pulang ke negara asal selepas keamanan dipulihkan atau menempatkan semula mereka ke negara ketiga dengan bantuan agensi antarabangsa.

“Bagaimanapun, situasi pelarian Palestin (dibawa ke Malaysia) ini rumit dan unik, disebabkan ketidakstabilan di Semenanjung Gaza. Penghantaran pulang rakyat Palestin itu ke negara mereka akan bergantung secara signifikan terhadap situasi di Gaza.

“Walaupun gencatan senjata (kekal) akhirnya mampu tercapai, pembinaan semula Semenanjung Gaza dijangka mengambil masa lebih 15 tahun dan wilayah itu sebahagian besarnya tidak dapat didiami, akibat kemusnahan disebabkan peperangan genosid Zionis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Melihat kepada perkembangan semasa di Gaza yang usaha berterusan pelbagai pihak untuk mencapai gencatan senjata kekal masih belum berhasil, Norafidah menjangkakan bahawa Malaysia berkemungkinan akan membenarkan rakyat Palestin untuk tinggal di sini untuk suatu tempoh masa yang lama.

Beliau berkata pelarian Palestin ini telah mengalami trauma dan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan disebabkan kekejaman dilakukan rejim Israel dan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, mempunyai kewajipan dari segi moral dan undang-undang untuk membantu orang awam yang tidak bersalah di kawasan konflik.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di Perhimpunan Agung UMNO 2024 semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat Palestin yang cedera dan kini menerima rawatan di Malaysia, hanya akan dihantar pulang apabila keadaan di negara asal mereka bertambah baik, atau gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.

Beliau berkata tidak wajar untuk menghantar rakyat Palestin tersebut pulang, sebelum gencatan senjata diwujudkan.

“Sekurang-kurangnya satu gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak, barulah kami akan merancang bagaimana untuk menghantar mereka pulang. Mereka mahu kembali ke tanah air mereka dan tidak mahu tinggal di sini secara kekal.

“Jadi, untuk mereka yang bimbang mereka (rakyat Palestin) mungkin tinggal di sini secara kekal, tidak perlu risau. Saya tidak percaya itu apa yang mereka mahukan - mereka mahu pulang ke negara Palestin,” kata Mohamad yang juga timbalan presiden UMNO.

Pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A400M TUDM, yang membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 ahli keluarga mereka, selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang di Selangor kira-kira 2 petang, selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Al Maza di Kaherah, Mesir, petang Khamis (15 Ogos).

Kesemua rakyat Palestin yang cedera kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, manakala saudara mara yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

Pada 21 Ogos, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata bahawa tiada ada misi kedua untuk membawa lebih ramai rakyat Palestin ke Malaysia.

Gabungan pertubuhan masyarakat madani, diketuai Greenpeace Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa jumlah pelarian yang dibawa ke Malaysia adalah kecil berbanding mereka yang masih menderita di Gaza.

“Terdapat kemestian moral bahawa kita perlu bertindak dengan belas kasihan terhadap sesama manusia yang menderita bukan atas kesalahan mereka sendiri dan yang berada di negara kita. Perkara ini mengatasi semua perbezaan kita kerana ia mengiktiraf hak setiap manusia untuk hidup dalam maruah dan bebas daripada ketakutan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Bader Syam berkongsikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada rakyat Palestin, yang telah mengalami penderitaan yang amat besar namun sehingga kini masih kekal bertahan.

“Bagi pihak rakyat Palestin, kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan orang ramai yang tidak berputus asa untuk menyokong perjuangan Palestin dan rakyatnya yang telah berhadapan pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis sejak lebih 10 bulan.

“Tindakan mulia ini suatu yang tipikal untuk Malaysia, yang selama ini menjadi pendukung isu dunia Islam dan juga isu kemanusiaan dan tidak teragak-agak menyokong golongan tertindas serta memberi bantuan yang sewajarnya kepada mereka untuk menegakkan keadilan,” katanya.

Bader Syam berkata tujuan membawa rakyat Palestin ke Malaysia adalah semata-mata untuk rawatan perubatan dan bukan untuk tujuan lain seperti untuk menetap secara kekal.

“Kami adalah orang yang setia pada tanahair kami dan berusaha serta berjuang untuk kembali dan membebaskan Palestin daripada pendudukan Zionis,” katanya.

Bagaimanapun, walaupun mereka menyatakan komitmen mereka untuk kembali, namun secara realitinya sistem kesihatan Gaza kini kucar-kacir, kemudahan hospital musnah dan sumber yang kehabisan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan