BELANJAWAN 2024 > BERITA

Karnival Agro MADANI@PTK Catat Jualan Memberangsangkan

26/08/2024 12:40 AM

JITRA, 25 Ogos (Bernama) -- Karnival Agro MADANI@Pasar Tani Kekal (PTK) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan jualan memberangsangkan RM2.5 juta berbanding RM2 juta yang disasarkan sebelum ini.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahari berkata pencapaian itu dipacu oleh aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung antaranya Kombo MADANI serta tawaran penjimatan harga barangan antara 10 hingga 30 peratus daripada pasaran.

“Saya berharap pengunjung berpuas hati dengan tawaran harga yang menarik yang kita tawarkan, contohnya Kombo MADANI yang harga asalnya RM15 tapi kita jual RM10 dan barangan keperluan lain mendapat potongan harga hingga 30 peratus.

“Jualan ‘Happy Hour’ turut diadakan pada waktu tertentu yang menawarkan daging lembu tempatan dijual pada harga RM30 sekilogram, ayam segar RM10 seekor, ikan cencaru RM2 seekor dan ikan keli RM1 seekor…apa yang kita tawarkan ini bagi menyahut seruan kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kaedah yang kita buat ialah kita menjemput petani atau pengeluar terus menjual, tak melalui orang tengah, sebab tu kita boleh mengurangkan margin yang biasa diambil oleh orang tengah dan memberi harga murah kepada rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Agro MADANI@ PTK Changlun di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata PTK Changlun merupakan lokasi keenam Jelajah Karnival Agro MADANI @PTK selepas Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, dengan kesemua karnival dijangka membawa hasil jualan keseluruhan mencecah RM2.75 juta.

Beliau berkata kira-kira 20,000 orang telah mengunjungi karnival berkenaan yang bermula Jumaat lepas dan turut menyediakan kaunter pameran oleh jabatan serta agensi kerajaan.

Abdul Rashid menambah FAMA telah memohon peruntukan daripada kerajaan untuk meneruskan jelajah berkenaan dengan penglibatan lebih banyak PTK.

“Kita ada 40 PTK di seluruh negara tapi yang kita buat sekarang hanya di enam negeri dan ada lagi 34 yang belum mendapat faedah yang sama. Kita dah mohon peruntukan tahun depan supaya PTK lain dapat anjurkan program yang sama dan mendapat manfaatnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan