BELANJAWAN 2024 > BERITA

Raja Permaisuri Agong Sampai Sumbangan Sempena Hari Kebangsaan 2024

26/08/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan sempena Hari Kebangsaan 2024 kepada asnaf, Orang Kurang Upaya, warga emas dan golongan miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor berupa wang tunai dan bakul makanan barangan keperluan asas itu disampaikan kepada 400 penerima terdiri daripada komuniti kurang berkemampuan dari pelbagai kaum.

Raja Zarith Sofiah semasa bertitah dalam majlis itu memaklumkan sumbangan daripada yayasan berkenaan selama ini lebih tertumpu kepada penduduk Johor sahaja, namun kini baginda dan Yang di-Pertuan  Agong Sultan Ibrahim berhasrat memperluas sumbangan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan penduduk di sini dapat turut sama menikmati dan mendapat manfaat daripada sumbangan yang disampaikan kami,” katanya ketika bertitah di Majlis Pengurniaan Sumbangan sempena Hari Kebangsaan 2024 bersama komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Raja Zarith Sofiah sebelum itu tiba dengan diiringi oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. 

Raja Permaisuri Agong bertitah Seri Paduka baginda berdua sedar bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja hadir di majlis-majlis rasmi, tetapi juga mesti menolong rakyat yang susah dan yang mengalami masalah mencari rezeki untuk diri serta keluarga masing-masing.

Sehubungan itu Raja Zarith Sofia juga berhasrat untuk memberi sumbangan yang sama kepada penduduk yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan Labuan meliputi semua bangsa dan agama untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Insya-Allah, saya berhajat untuk pergi ke Labuan dan melihat sendiri keadaan di sana dalam usaha membantu golongan berkenaan di Labuan pula,” titah Raja Permaisuri Agong.

Sementara itu majlis yang diadakan hari ini merupakan yang ketiga selepas majlis pertama di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1 April lepas, melibatkan sumbangan kepada 500 warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kategori miskin tegar.

Majlis kedua pula dilaksanakan pada 13 Jun lepas di Pusat Komuniti Setiawangsa melibatkan 500 penduduk Wilayah Persekutuan dalam kategori yang sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan