BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hasil Audit Khas CAAM Terhadap MAG Dibentang Di Kabinet Rabu Ini - Loke

26/08/2024 07:22 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) --  Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menjalankan audit khas ke atas Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai tindak balas terhadap gangguan terkini melibatkan perkhidmatan Malaysia Airlines.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau akan membentangkan penemuan daripada audit khas ini pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini kerana kerajaan sangat bimbang terhadap perkara tersebut.

“Kami memandang serius dengan apa yang berlaku di MAG. Saya telah meminta Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail supaya mengambil tindakan sewajarnya agar operasi  mereka menjadi lebih lancar dengan mengutamakan keselamatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

MAG dalam kenyataan Sabtu lalu mengumumkan rancangan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu mulai 19 Ogos lalu hsehingga Disember.

Langkah itu juga sebagai susulan kepada gangguan penerbangan pada minggu 19 Ogos lalu yang membabitkan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.

Loke berkata laporan penuh mengenai kelewatan, pembatalan, pengurangan penerbangan akan merangkumi butiran seperti usia pesawat dan semua aspek relevan insiden tersebut.

Katanya MAG telah mengambil langkah-langkah untuk menangani cabarannya antaranya kesukaran rantaian bekalan alat ganti pesawat, kekurangan tenaga kerja peyelenggaraan dan sebagainya.

Loke menegaskan bahawa isu teknikal yang serupa dialami MAG juga berlaku kepada syarikat penerbangan lain dan menekankan bahawa tindakan yang diambil adalah terutamanya untuk memastikan keselamatan penumpang.

Menurutnya syarikat penerbangan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika penerbangan lewat, dilencongkan atau patah balik ke lapangan terbang.

“Kerugian kepada syarikat penerbangan tetapi tindakan itu diambil demi keselamatan penumpang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan