BELANJAWAN 2024 > BERITA

Corat-Coret Wira Merah, Jihad Selamatkan Nyawa, Jasa Merentasi Negara

27/08/2024 10:14 AM
From: Hasnah Jusid

Jarum jam menunjukkan tepat pukul 8 pagi dan Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Hulu Langat Penguasa Kanan Bomba I Sharin Yusmar Mt Yusof, sudah terpacak di depan pejabatnya.

Dia bukan menunggu anak buahnya, sebaliknya menunggu ketibaan penulis yang membuat janji temu untuk menyertai latihan teknikal tali menyelamat - Teknik Menyelamat Mendatar Baris Tinggi di kaki Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor pada pagi itu. 

Walaupun awan hitam sudah mulai kelihatan pada pagi 14 Julai itu, perjalanan ke destinasi yang terletak kira-kira sejam memandu dari Balai Bomba Pandan Indah, tetap diteruskan dan penulis turut menaiki kenderaan serba guna milik bomba.

“Dulu saya ingatkan kerjaya bomba ini hanya sekadar padam api kebakaran dan tunggu panggilan kecemasan,”  kata Sharin Yusmar, 45, yang memiliki ijazah dalam bidang pemasaran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), membuka bicara. 

Namun segalanya berubah setelah beliau menyertai bomba pada tahun 2007.  Ternyata tugasan ini menuntut pengorbanan, kudrat, masa, tenaga sepenuh masa kepada kerjaya, mempertaruhkan nyawa dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan prinsip ‘mengutamakan perkhidmatan’ .

“Apabila saya sertai JBPM, pengetahuan saya makin meluas. Bukan setakat padam api tapi keutamaan selamatkan nyawa, selain buat kerja pemadaman api, boleh luaskan minat dalam pelbagai bidang, misalnya unit udara, menyelamat di air, menangani kes bahan kimia,” katanya. 

“Banyak-banyak negeri, Kuala Lumpur dan Selangor paling banyak cabaran, dari segi cara kehidupan, jadual kerja yang sibuk, kadar literasi tinggi, pendidikan dan pelbagai jenis insiden, boleh tahan juga,” katanya, berkongsi pengalamannya dengan penulis sepanjang perjalanan ke kaki Gunung Nuang. 

Kenderaan yang Sharin dan saya naiki dipandu Pegawai Bomba Zon 4 Hulu Langat JBPM Selangor Wan Khairul Azmi Wan Mohamad.

Banyak yang dikongsi sepanjang 18 tahun menyertai perkhidmatan bomba, bermula di JPBM Kelantan pada tahun 2007 dikuti JPBM Pahang (2012) sehinggalah ke JPBM Selangor sebagai Ketua Zon 4 Hulu (2020 sehingga sekarang).

 

TRAGEDI BATANG KALI 

Berpegang kepada moto ‘cuba selamatkan semua, cuba sebaik mungkin, dan kemudian berserah kepada Allah SWT. Sama ada selamatkan nyawa orang lain atau kita syahid’. Itulah moto dan prinsip yang dipegang Sharin Yusmar sepanjang bertugas sebagai pegawai bomba.

Sepanjang tempoh perkhidmatan itu, beratus kes yang dikendalikannya, kecil atau besar, termasuk tragedi yang menggemparkan negara, iaitu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang meragut 31 nyawa.  Sehingga kini, tragedi duka itu masih berbekas di ingatannya. 

pic-2

“Saya sendiri turut bertungkus-lumus mencari dan menyelamatkan mangsa-mangsa tertimbus. Satu yang saya tidak dapat lupakan kita dapat keluarkan satu keluarga berpelukan dalam satu khemah termasuk kanak-kanak. Sedikit terkesan di hati kami penyelamat. Kita cuba sedaya upaya selamatkan nyawa tapi perancangan Allah SWT lebih hebat,” kata anak kelahiran Kedah ini. 

Ditugaskan sebagai ground commander pada waktu itu, beliau memegang peranan penting sebagai orang terakhir yang menguruskan kemasukan ke Zon Merah bagi operasi mencari dan menyelamat oleh agensi keselamatan dan pasukan khas yang mempunyai kepakaran tertentu. 

“Batang Kali memang saya terlibat sendiri, saya jadi safety man untuk petugas di bawah, bagi alert kepada pemandu jentera, mesin pengorek, maklumkan pergerakan mereka. Bukan tugas yang mudah, menjaga nyawa yang masih hidup sambil mencari mangsa yang tertimbus,” katanya. 

Menurut beliau, ketika itulah kebijaksanaan anggota keselamatan diuji dalam mencari kedudukan mangsa yang tertimbus dengan menggunakan formula, pengiraan, matematik, unjuran geologi yang ada, yang kesemuanya dilakarkan di atas kertas bagi mencari pengiraan tepat.

“Pengiraan atas kertas ada, keluar formula, gerakan fizik, semuanya dibentangkan untuk diteliti. Contoh, budak besar ini, tujuh tahun, berat macam mana, kelajuan tanah jauh mana boleh mengheret, dalam mana boleh pergi. Mujur ketua yang bertugas pada masa itu, memang pandai bab ini,” katanya. 

Selain berdepan cabaran keadaan tanah lembik, lecak dan berselut sedalam 16 meter sepanjang 11 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR), Shahrin Yusmar berkata, tugasnya juga menuntut beliau untuk bijak menyusun atur pergerakan anggota keselamatan di lapangan.

“Faktor luas, hujan, kekal bertenang, sambung malam, tak cukup rehat lagi, pasukan bomba yang besar, antara semangat dan harapan, semangat nak cari harapan nak jumpa tak tahu.

“Perasaan bercampur baur, sedih memang sedih, tapi kepuasan mengenangkan anggota berkeringat, hidup mati di situ, selagi tak jumpa mangsa terakhir, kita berkampung situ duduk situ sampai jumpa.

“Tidak sedikit anggota keselamatan yang menangis ketika mayat terakhir ditemukan,” katanya. 

 

TIDAK MUDAH  JADI PEMIMPIN 

Meskipun dari luaran anggota-anggota bomba ini nampak gagah, mereka hanyalah insan biasa yang punya perasaan. Apatah lagi ketika berdepan situasi luar jangka, pilu dan menyayat hati, yang turut menyebabkan mereka alami tekanan perasaan dan trauma.

Hal ini turut dirasai sendiri oleh Sharin Yusmar yang pernah mengalami detik hitam apabila turut menjadi mangsa ketika terlibat dalam operasi kebakaran di gudang bekas kilang tayar di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 2012 apabila sebuah tangki diesel tiba-tiba meletup dan api menyambar beliau dan anggotanya.  

pic-3

“Saya menyaksikan sendiri dan saya pun terlibat juga dalam satu letupan minyak yang mengakibatkan seramai 12 orang termasuk saya turut tercedera, dua anggota saya kritikal akibat lecuran dan yang lain-lain alami kecederaan lecuran

“Impak operasi itu sebagai komander operasi, bagaimana kita uruskan keadaan itu dan kumpul balik anggota pasukan dan tenangkan keadaan apabila melihat kawan-kawan yang tumbang, meraung, minta tolong. Dalam keadaan normal, kita pernah bekerja bersama, makan bersama dan tiba-tiba dia tumbang,” katanya.

Menurut beliau, meskipun tidak ada kehilangan nyawa, ada anggota yang mengalami kecacatan kekal hingga kehilangan rupa asal selain cuping telinga yang tinggal hanya sebesar ibu jari.

 

KISAH PELIK, LUCU

Walaupun tugas anggota JBPM menuntut mereka untuk serius menjalankan tugas dan tidak lari daripada tekanan, namun mereka juga tidak terlepas daripada berhadapan kisah-kisah melucukan serta mencuit hati.

Pernah satu ketika apabila ular mereka tangkap dan dimasukkan ke dalam guni, disedari hilang ketika dalam perjalanan pulang menggunakan jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) di ibu negara.

"Bila kami perasan ular dah tiada, kami terus berhentikan kenderaan di tengah-tengah jalan, kemudian semua berlari dan melompat keluar sebab takut kalau ular itu terlepas dan berada di dalam kenderaan.

"Cari punya cari rupanya ular itu dah melingkar dekat tempat letak kepala penumpang, mujur kami perasan cepat," katanya. 

Ada juga kes melibatkan panggilan kecemasan daripada seorang lelaki mengatakan dia terkunci di dalam rumahnya.

"Setibanya kami di rumah tersebut, kami pun lakukan kerja kami. Tiba-tiba seorang perempuan yang juga isteri mangsa datang, rupa-rupanya isteri mangsa kata memang dia kunci pintu sebab dia tak mahu suami dia keluar, depa tengah bergaduh.

"Lain lagi ceritanya apabila dapat panggilan kata ternampak buaya, sekali tengok rupanya ikan keli sahaja, " katanya yang masih tidak dapat menahan gelak apabila mengingat kembali momen-momen tersebut. 

 

KELUARGA TETAP DALAM INGATAN

Setiap kali bertugas, menyelamatkan mangsa yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, Sharin Yusmar tidak pernah lupa akan   isteri dan lima orang anaknya yang tinggal jauh di Terengganu. 

Selama 12 tahun menjalani "perkahwinan” sebagai Pasangan Jarak Jauh (PJJ), beliau tidak pernah mengeluh ataupun menyesali keputusan menjadi anggota bomba.

pic-4

“Saya selalu terbayangkan kalau mangsa ini adalah ahli keluarga saya, sebab itu saya sentiasa pastikan segala kerja menyelamat saya lakukan dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan seboleh-bolehnya tiada air mata yang gugur menangisi pemergian ahli keluarga,” katanya.  

Beliau akui, adakala isteri dan anak-anak dambakan kehadirannya di sisi mereka, namun tugas dan tanggungjawab yang dipikul serta amanat yang dijunjung selaku anggota keselamatan, mengatasi segalanya.

“Di dalam pagar (rumah) saya milik keluarga, di luar pagar saya milik masyarakat,” tegasnya. 

 

BANTUAN MERENTASI NEGARA 

Asyik mendengar kisah Sharin Yusmar, tanpa sedar kami akhirnya tiba di kaki Gunung Nuang. Di situ sudah menunggu Pegawai Operasi Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn Khairulnisham Salleh dan lima anggota pasukannya.

Berkesempatan mencuba sendiri kaedah penyelamatan - bergayut pada tali sambil membawa pengusung menyeberangi sungai -  ternyata bukan mudah dan memerlukan kerjasama berpasukan yang amat tinggi.

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana anggota JBPM boleh buat kerja ini, sedangkan membawa pengusung yang kosong pun terasa berat, inikan pula membawa manusia,” ujar rakan penulis, Hana Shafirah Nazir daripada Bernama TV yang turut serta dalam latihan itu. 

Bagaimanapun Sharin Yusmar berkata, perkara itu hanyalah secebis daripada tugasan anggota bomba yang meliputi kerja-kerja menyelamat.

“Tanpa kerja berpasukan, dalam apa operasi sekali pun kita tidak akan berjaya,” katanya. 

Kesempatan yang ada turut diambil penulis untuk "mengorek pengalaman” Khairulnisham, anggota bomba yang sudah berkhidmat selama 34 tahun. Rupa-rupanya beliau terlibat dalam SAR tragedi Highland Towers terletak di Ulu Klang, Selangor, kira-kira 31 tahun lalu. Kondominium yang runtuh pada 11 Disember  1993 itu mengorbankan 48 nyawa.

“Kami tiba kira-kira 30 minit selepas kejadian runtuhan berlaku, debu masih berterbangan ketika kami tiba. Pertama kali tengok bangunan 12 tingkat runtuh. Dalam masa beberapa hari banyak anggota keselamatan dari Singapura, Jepun, Perancis datang bantu guna peralatan canggih. 

“Anggota bomba kita pula satu Malaysia datang, setiap negeri tu kira-kira 20 anggota bomba dihantar untuk berkampung dua minggu di lokasi kejadian sampai kes selesai,” katanya yang bertugas di Balai Bomba Hang Tuah ketika itu. 

Rentetan insiden itu, kerajaan menubuhkan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pada tahun 1995 yang terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia, JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) - menyaksikan Khairulnisham menjadi antara yang terawal menyertainya.

Dengan kepakaran dalam struktur yang tumbang, gempa bumi, ruang tertutup dan menyelamat di dalam air serta dilengkapi peralatan terkini dan moden, Khairulnisham antara 25 anggota SMART yang dihantar ke Aceh, Indonesia, sehari selepas wilayah tersebut dibadai tsunami pada tahun 2004. 

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh ketika itu, Khairunisham dapat melihat sendiri betapa sukarnya kehidupan mereka yang terselamat dengan ada yang berkumpul di lapangan terbang untuk mencari jalan keluar dan tidak kurang juga berlindung di dalam masjid.

pic-5

“Kami buat khemah di tengah-tengah sawah penuh air, penuh lumpur, tempat orang bertani. Situ sahaja tempat boleh buat khemah sebab selamat dan tinggi. Di situlah bermula kehidupan sebagai penyelamat selama dua minggu. Makanan semua masak atas permatang sawah,” katanya. 

Umpama buah manggis yang berguguran. Itulah yang terlintas di fikirannya ketika melihat timbunan mayat mangsa tragedi yang berlaku sehari selepas sambutan Krismas 2004.

“Dua minggu duduk di situ, saya dapat memahami erti kehidupan, besarnya kuasa Tuhan, ramainya orang mati, betapa kecilnya dunia ini, betapa kerdilnya insan dalam dunia ini,” katanya yang banyak mengikuti kursus menyelamat di luar negara, seperti di Jerman, Brazil, Singapura, Thailand dan Turkiye.

Katanya, selagi berkhidmat dengan bomba, beliau akan berkhidmat dengan sepenuh jiwa raga dan semangat, selagi ada nyawa dikandung badan.

“Bila kita sertai bomba, kita perlu ada niat untuk membantu manusia daripada segi harta benda, nyawa dan macam-macam, kena ada mentaliti, disiplin dan tenaga yang bagus, walaupun orang anggap tugas kita remeh tapi itu kita abaikan sahaja,” katanya. 

 

BOMBA TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI

Penulis juga berpeluang menemu bual Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail yang berkata tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa menjadi perkara utama JBPM setiap kali memberikan perkhidmatan kebombaan demi kesejahteraan rakyat.

"Perubahan cuaca dan musim yang tidak menentu ditambah dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat membangun, memerlukan JBPM sentiasa siap siaga dari sudut keanggotaan dan juga logistik bagi menempuh apa sahaja bencana dan malapetaka.

"Cabaran dan dugaan sememangnya terlalu banyak untuk dihadapi dan setiap kes yang dihadiri oleh jabatan ini, rintangannya adalah tidak sama," katanya. 

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini dilapor berkata, sebanyak RM267 juta diperuntukkan kepada JBPM bagi perolehan aset serta pelaksanaan projek - jumlah terbesar yang pernah disalurkan kepada agensi di bawah kementeriannya itu.

Sebanyak 84 balai bomba baharu diperlukan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kualiti, kemampuan dan kecekapan JBPM menyalurkan perkhidmatan kepada masyarakat.

Setakat ini, Malaysia mempunyai sebanyak 337 balai bomba dan indeks risiko kebakaran dijadikan pengukur dalam menentukan keperluan menambah jumlah kemudahan itu.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan