BELANJAWAN 2024 > BERITA

Firma Audit Dan Rakan Kongsi Audit Langgar Keperluan Penggiliran Rakan Kongsi Didenda

27/08/2024 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan denda RM150,000 dan RM37,500 masing-masing ke atas Grant Thornton Malaysia PLT (GTM) dan rakan kongsi auditnya Mohamad Heizrin Sukiman kerana gagal mematuhi keperluan penggiliran rakan kongsi.

SC menjelaskan Mohamad Heizrin melanggar keperluan utama Undang-undang Kecil Institut Akauntan Malaysia (Mengenai Etika, Kelakuan dan Amalan Profesional) (Undang-undang Kecil MIA) ketika tempoh peralihan Undang-undang Kecil MIA yang telah disemak.

“Mohamad Heizrin ialah rakan kongsi penglibatan dan penyemak kualiti tugasan dalam audit entiti berkepentingan awam (PIE) dari 2013 hingga 2017. Berikutan itu, beliau dikehendaki melalui tempoh bertenang sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.

“Bagaimanapun, beliau gagal berbuat demikian dan telah terlibat dalam audit PIE tersebut selama lebih tujuh tahun,” tambah SC dalam kenyataan pada Selasa.

SC memaklumkan Undang-undang Kecil MIA menetapkan bahawa rakan kongsi tugasan audit tidak boleh terlibat dalam tugasan audit untuk tempoh lebih daripada tujuh tahun berturut-turut untuk memastikan kebebasan audit.

“AOB memandang serius pelanggaran itu kerana kebebasan juruaudit dan pematuhan piawaian etika adalah keperluan penting untuk profesion audit,” jelasnya.

GTM gagal memenuhi objektif kualiti Piawaian Antarabangsa tentang Pengurusan Kualiti (ISQM) 1 seperti yang diterima pakai oleh MIA, khususnya mengenai ketidakpatuhan terhadap keperluan etika yang relevan, termasuk yang berkaitan dengan kebebasan (iaitu Undang-undang Kecil MIA, tambah SC.

GTM dan Mohamad Heizrin telah membuat rayuan kepada SC terhadap tindakan penguatkuasaan AOB.

“SC telah mendengar rayuan itu dan selepas melalui proses yang sewajarnya, telah mengesahkan keputusan AOB,” menurut SC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan