BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lesen Memandu Indonesia Akan Diiktiraf Di Asia Tenggara Mulai Jun 2025

27/08/2024 02:55 PM

JAKARTA, 27 Ogos (Bernama) -- Lesen memandu Indonesia akan diiktiraf secara rasmi di beberapa negara Asia Tenggara mulai 1 Jun tahun depan, membolehkan warga Indonesia memandu di luar negara tanpa memerlukan permit memandu antarabangsa.

Pengiktirafan itu terpakai di Brunei, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, lapor portal berita Tribunnews.com.

Pengarah pendaftaran dan pengenalan kenderaan bahagian Trafik Polis Indonesia Yusri Yunus berkata kad pengenalan kini juga akan berfungsi sebagai lesen memandu, memperkemas integrasinya dengan dokumen undang-undang lain seperti nombor pengenalan cukai dan rekod keselamatan sosial.

“Reka bentuk lesen memandu baharu juga akan menampilkan logo kategori seperti Kelas A untuk kereta dan Kelas C untuk motosikal bagi membantu pihak berkuasa asing mengenal pasti,” katanya.

Menurut laporan Tribunnews.com, lesen memandu Indonesia telah diiktiraf di rantau ini sejak 1985 di bawah Perjanjian Pengiktirafan Lesen Memandu Domestik yang diperluaskan pada 1997 untuk merangkumi lebih banyak negara seperti Kemboja.

Bagaimanapun tambah laporan itu, negara seperti Singapura hanya mengiktiraf lesen memandu Indonesia selama 12 bulan dari tarikh ketibaan, manakala Malaysia mewajibkan permit memandu antarabangsa untuk pemandu asing, termasuk dari Indonesia sejak 2018.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan