BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hari Kebangsaan 2024: Persembahan Menarik Di Sepanjang Laluan Perarakan

27/08/2024 05:17 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Pengunjung yang akan bersama-sama meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan menarik di sepanjang laluan perarakan di Persiaran Perdana di sini pada 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris selaku urus setia persembahan berkata 17,000 peserta daripada 59 kontinjen akan berarak sepanjang lima kilometer mengayakan busana, aset dan persembahan masing-masing bermula dari Menara Kementerian Belia dan Sukan hingga ke Masjid Putra.

Beliau berkata antara persembahan yang dijangka mencuri perhatian ialah perarakan oleh 25 pancaragam daripada pelbagai badan beruniform dan sekolah, persembahan 'teres manusia' oleh 2,000 pelajar sekolah dan tempur tanpa senjata oleh Angkatan Tentera Malaysia. 

"Sudut terbaik untuk menyaksikan persembahan ini adalah di hadapan Istana Kehakiman tetapi tempat duduk agak terhad. 

"Bagaimanapun, khalayak masih boleh menikmati dan melihat kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ini dari (tempat disediakan) sebelah kiri dan kanan sepanjang laluan perarakan," katanya kepada pemberita selepas sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini. 

Ditanya mengenai perjalanan sesi raptai pertama hari ini, Mohd Amran berkata masih terdapat beberapa aspek perarakan dan persembahan yang harus diperkemaskan menjelang sambutan gilang-gemilang itu nanti, terutamanya dari segi durasi keseluruhan acara. 

"Kita menyasarkan untuk acara ini selesai dalam masa dua jam sahaja tetapi tadi kita lihat raptai berlangsung melebihi dua jam. Jadi, kami akan cuba untuk memastikan perjalanan acara nanti mengikut masa yang ditetapkan dan kita akan tengok apa yang boleh dilakukan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan