BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerajaan Baiki Kemudahan Infra, Bina NADI Di Kampung Angkat Kementerian Komunikasi Di Sepang

27/08/2024 06:35 PM

SEPANG, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan membaiki kemudahan infrastruktur dan membina Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, membabitkan kos RM5 juta, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kemudahan infrastruktur berkenaan yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta merangkumi pembinaan semula balai budaya, kantin, tandas awam serta mewujudkan ruang niaga baharu dalam kawasan kompleks budaya, manakala bakinya adalah untuk membina NADI.

Beliau berkata projek yang dimulakan pada 15 Ogos lepas itu berjalan dengan lancar dan Kementerian Komunikasi akan meninjau perkembangannya pada bulan Disember ini.

“Dalam Program Kampung Angkat, kerajaan akan tumpukan kepada usaha penambahbaikan infrastruktur termasuk Internet di kawasan desa. Di NADI nanti, kita akan sediakan 10 komputer riba dengan kemudahan Internet percuma berkelajuan 100Mbps.

“Malah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) memberikan pendedahan kepada masyarakat kampung ini tentang keselamatan menggunakan Internet untuk elak jadi mangsa penipuan dalam talian dan sebagainya,” katanya. pada sidang media selepas menghadiri program Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelingsing, hari ini.

Bagi membantu mempromosikan produk kraf tangan masyarakat Orang Asli di kampung itu, Fahmi berharap agar hasil keluaran mereka bukan hanya dipasarkan di ruang niaga yang dijangka siap di sini hujung tahun ini sahaja, malah ia mungkin boleh dijadikan sebagai cenderamata kepada perwakilan asing yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di ibu negara.

“Kita nak kraf tangan dari kampung ini dapat dijadikan cenderamata kepada perwakilan yang datang dari jauh ke negara kita. Saya minta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk pertimbangkan perkara ini,” katanya.

Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, yang melibatkan semua negeri dan tidak hanya dipusatkan di Kuala Lumpur sahaja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan