BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bebaskan Jiwa Daripada Amalan Rasuah - KP SPRM

28/08/2024 12:43 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Bukan hanya bebas cengkaman penjajah, erti kemerdekaan juga perlu dihayati dengan membebaskan jiwa dan minda daripada amalan rasuah, selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Pembanterasan rasuah menjadi agenda yang sangat penting demi masa depan negara memandangkan gejala itu mula menjadi sistemik dalam bidang-bidang tertentu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata usaha menentang rasuah menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan sokongan semua pihak.

Beliau berkata ini kerana rasuah menyebabkan kerugian luar biasa berjumlah RM277 bilion dalam nilai keluaran ekonomi bagi tempoh 2019 hingga 2023, selain merosakkan sosial dan budaya masyarakat.

"NACS bukan terletak di bahu SPRM sahaja tetapi tanggungjawab semua pihak yang perlu melihat undang-undang dan peraturan sedia ada, tatakelola yang lapuk kepada arah yang dapat mewujudkan persekitaran kondusif,” katanya kepada Bernama.

Dilancarkan pada 7 Mei lepas, NACS memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia merangkumi lima strategi iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam,  suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.

Dalam pada itu, Azam berkata NACS adalah platform terbaik dalam melaksanakan reformasi perkhidmatan awam seperti yang ditekankan Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 pada 16 Ogos lepas.

"Tidak guna buat tugas operasi, tangkap (penjenayah rasuah) sana sini dan mendidik masyarakat tetapi tatakelola tidak betul. Oleh itu, aspek tatakelola perlu dilihat melalui NACS dengan SPRM menjadi peneraju utama dan komitmen sepenuhnya diberikan untuk melaksanakan strategi itu," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan keberkesanan NACS, satu mekanisma pemantauan menyeluruh diwujudkan SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

"Kita akan buat laporan pemantauan dan penilaian NACS yang kemudiannya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan