BELANJAWAN 2024 > BERITA

Taufan Shanshan: Rakyat Malaysia Di Jepun Dinasihatkan Berwaspada Dan Berhati-hati

29/08/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang berada di Wilayah Kagoshima, Pulau Kyushu, Jepun dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati berikutan amaran kecemasan mengenai Taufan Shanshan yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA) awal Rabu.

Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo menerusi laman Facebooknya turut menggesa rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu di kawasan terjejas atau ke kawasan terjejas.

“Ketika ini, taufan yang diklasifikasikan sebagai ‘sangat kuat’ dijangka membawa hujan lebat, angin kencang, ombak tinggi, laut bergelora, dan berisiko menyebabkan tanah runtuh serta sungai banjir,” menurut pengumuman itu.

Taufan Shanshan dilaporkan sedang menghampiri Wilayah Kagoshima, dengan kesannya dijangka berlarutan hingga hujung minggu, menurut kedutaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi kedutaan melalui nombor telefon +81-3-3476-3840 (waktu pejabat), +81-80-4322-3366 (kecemasan) atau melalui e-mel di consular.tyo@kln.gov.my.

Menurut Agensi Berita Kyodo, JMA telah mengeluarkan amaran taufan khas yang jarang berlaku untuk kebanyakan bahagian Wilayah Kagoshima di barat daya negara itu ketika Taufan Shanshan yang kuat menghampiri.

Taufan itu sedang bergerak ke arah utara di selatan Pulau Yakushima di luar wilayah berkenaan dan boleh mendarat di pulau utama barat daya Kyushu pada Khamis, lapor agensi itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan