BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tragedi Sungai Kayan: Pengawas Keselamatan Akan Dilantik

29/08/2024 07:51 PM

LUNDU (Sarawak), 29 Ogos (Bernama) -- Seorang pengawas akan dilantik bagi memantau keselamatan pengguna yang menggunakan perkhidmatan bot penambang di  Sungai Kayan Kampung Selampit, kata Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata pengawas itu akan memantau para pelajar, khususnya di waktu puncak pergi dan balik sekolah agar mereka mematuhi peraturan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki tidak melebihi muatan.

"Walaupun peraturan mengenai jaket keselamatan sudah ada namun penguatkuasaannya kadangkala kurang efektif ... jadi dengan adanya pengawas ini penguatkuasaan keselamatan akan terjamin.

"Penting untuk mematuhi peraturan keselamatan sebagai langkah pencegahan dan sebagai pengajaran daripada insiden yang berlaku. Ini peringatan bagi semua pihak untuk lebih berhati-hati dan tidak menganggap sesuatu yang biasa sebagai tidak berbahaya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi bot karam yang berlaku di kampung itu pada 20 Ogos lepas.

Dalam kejadian 6.10 pagi itu, sebuah bot yang dinaiki 20 penumpang termasuk 16 pelajar karam di Sungai Kayan. Kejadian ini meragut nyawa tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Senibong  iaitu Helena Fasha Petrus,  Alasma Jithil dan Vilkie Wilson.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata pengusaha bot penambang di kawasan berkenaan turut diminta untuk menggantikan bot sedia ada kepada bot fiber baharu yang sesuai serta mengikut spesifikasi.

"Hasil mesyuarat bersama pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Ketua Komuniti dan Penghulu, mendapati bot sedia ada tidak memenuhi standard keselamatan yang diperlukan.

"Saya memberikan tempoh seminggu kepada mereka (pihak terlibat) untuk memikirkan reka bentuk bot baharu, mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Kos itu ditanggung pusat khidmat setelah sebut harga bot akan disiapkan dalam tempoh dua bulan," katanya.

Kapasiti maksimum bot penambang baharu hanya boleh membawa 12 penumpang termasuk sebuah motosikal selain turut dilengkapi jaket keselamatan, pelampung dan lampu solar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan