BELANJAWAN 2024 > BERITA

MDA Luluskan Kit Ujian mpox Pertama Di Pasaran

29/08/2024 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah meluluskan satu kit ujian virus cacar monyet (mpox) yang pertama untuk pasaran Malaysia bagi membantu pengesanan virus itu secara berkesan.

Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua berkata kit dikenali ‘Viasure Monkeypox Virus Real Time PCR Detection’ itu hanya boleh dikendalikan golongan profesional seperti pengamal perubatan berlesen dan tidak boleh dikendalikan orang awam. 

Beliau berkata sebarang penjualan dan pembelian di farmasi, kedai runcit mahupun di platform e-dagang juga tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

“Sekiranya kit ujian mpox ini tidak dikendalikan golongan profesional, terdapat kemungkinan keputusan ujian yang diperoleh tidak tepat dan boleh menyebabkan penularan virus dalam kalangan orang awam.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli serta menggunakan sendiri kit ujian mpox,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- LAGI 

 

MDA-MPOX (KIT UJIAN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR 

 

Dr Muralitharan memaklumkan jika mana-mana individu yang mendapati penjualan kit itu kepada orang awam di farmasi, kedai runcit atau platform e-dagang, mereka diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa melalui Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (MDAFEMES) di femes.mda.gov.my.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 33 kes disyaki mpox telah dilaporkan di fasiliti kesihatan sejak awal tahun dan daripada jumlah itu, 32 kes disahkan negatif dan satu kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

KKM juga menyatakan 13 makmal mampu membuat ujian pengesanan mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan lima makmal swasta dengan dua daripadanya mampu membuat penjujukan maklumat genetik untuk mengesan varian virus yang dikesan.

-- BERNAMA 

 

TAG: mpox, MDA, kit ujian, kes, KKM 


LTAJ NSM KIA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan