BELANJAWAN 2024 > BERITA

Paris 2024: Ulangan Final Kejohanan Dunia 2019 Menanti Suresh

30/08/2024 06:10 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 29 Ogos (Bernama) – Jaguh memanah para negara, S. Suresh dijadual bertemu wakil Amerika Syarikat Eric Bennett yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 pada pusingan penyingkiran 1/16 recurve terbuka lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024.

Walaupun menamatkan pusingan ranking dengan kedudukan ke-12 menerusi 625 mata di Invalides hari ini  namun pemanah berusia 31 tahun boleh mendabik dada memperbaharui catatan musim terbaiknya iaitu 596 mata ketika saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech, Jun lepas.

Bennett pula mengakhiri saingan di tempat ke-21 dengan 602 mata manakala wakil tuan rumah Guillaume Toucoullet mendominasi pusingan ranking tersebut dengan 652 mata.

Ketua jurulatih skuad memanah para negara Marzuki Zakaria yang gembira dengan keputusan dilakar Suresh berharap agar anak buahnya dapat mengekalkan momentum di pusingan seterusnya dijadual berlangsung 4 Sept ini.

“Saya mengharapkan agar sejarah lalu (final Kejohanan Memanah Para Dunia 2019) berulang lagi buat Suresh ketika menentang Bennett,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Marzuki juga bangga dengan panahan memberangsangkan dilakar Nur Jannaton Abdul Jalil yang turut memperbaharui catatan musim terbaik walaupun membuat penampilan sulung pada pentas Paralimpik menerusi acara compound individu wanita  terbuka. 

Nur Jannaton memperoleh 649 mata untuk menduduki tangga ke-24 sekali gus mengatasi rekod terdahulu dilakukannya pada Kejohanan Ranking Memanah Para Dunia Fazza di Dubai, Mac lepas iaitu 615 mata.

Pemanah kerdil berusia 28 tahun itu akan membuat perhitungan pada pusingan penyingkiran 1/16 esok menentang Sarita dari India yang berada di kedudukan kesembilan dengan 682 mata.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan