BELANJAWAN 2024 > BERITA

APMM Tampil 404 Pegawai, Tiga Selebriti Dalam Perbarisan Hari Kebangsaan

30/08/2024 01:13 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menampilkan 404 pegawai dan tiga selebriti tempatan dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, esok.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata selebriti yang akan menyertai kontinjen agensi penguatkuasaan itu ialah Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata APMM juga akan mempamerkan aset iaitu Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1, Bot Petir 83, Mobile Surveillance Unit (MSU) serta sebuah AS365 N3 Dauphin yang akan melakukan terbang lintas bersama aset udara pasukan keselamatan lain.

Saiful Lizan berkata penyertaan APMM dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 diharap dapat memberi peluang kepada masyarakat mengenali peranan yang dimainkan APMM selain menarik minat belia tempatan yang berkelayakan untuk menjadi anggota penguat kuasa.

"Sebagai agensi yang diletakkan di bawah kluster keselamatan, APMM ingin menunjukkan peranannya  dalam memastikan perairan Malaysia selamat di samping turut membawakan mesej kepada orang ramai bahawa ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’.

"Penyertaan ini juga mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan anggota APMM yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi mempertahankan keselamatan perairan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan