BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sebelas Daerah Dikenal Pasti Sebagai Daerah Menua - DOSM

30/08/2024 03:46 PM

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Sebelas daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai 7.0 peratus, demikian mengikut statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang diterbitkan hari ini.

Laporan berkenaan memaparkan anggaran penduduk di peringkat negeri dan daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dan 2024.

Daerah yang terlibat ialah Beluru, Telang Usan, Mukah di Sarawak, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor di Selangor, Muallim (Perak), Tenom (Sabah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Segamat (Johor).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) tertinggi pada 2024 dicatatkan di Kecil Lojing dengan 33.8 peratus, diikuti Gua Musang (33.4 peratus) dan Tumpat (32.3 peratus) di Kelantan.

“Sebauh, Sarawak mencatatkan peratusan penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) tertinggi dengan 79.5 peratus, diikuti Kinabatangan, Sabah (78.4 peratus) dan Belaga, Sarawak (78.3 peratus) manakala Lubok Antu, Sarawak mempunyai penduduk umur tua paling tinggi (65 tahun dan lebih) dengan 15.1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tiga kategori penuaan iaitu ageing society, aged society dan super-aged society iaitu masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah tujuh peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

Berpandukan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), penuaan ialah apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata Petaling, Selangor merupakan daerah yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai pada 2024 dengan 2.4 juta, diikuti Johor Bahru, Johor (1.8 juta) dan Ulu Langat, Selangor (1.5 juta).

Daerah Kinabatangan dan Kalabakan di Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dengan 9.6 peratus, diikuti Cameron Highlands, Pahang (8.4 peratus).

Sementara itu, tiga daerah di Sarawak mempunyai bilangan penduduk paling rendah iaitu dengan 7,900 penduduk di Tanjung Manis, diikuti oleh Song (10,300) dan Bukit Mabong (10,600).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan