BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Perlu Dimanfaat Untuk Tingkatkan Perpaduan Rakyat - PM

30/08/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sambutan Hari Kebangsaan 2024 esok dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata ini kerana kemerdekaan yang dikecapi hari ini dicapai kerana kekuatan rakyat yang bersatu padu.

“Saya mahu mengajak semua rakyat Malaysia agar menerima kedatangan merdeka atas kekuatan setiap bangsa yang bersatu walaupun masing-masing berbeda pendapat. Di dalam negara yang tercinta ini, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan yang secukupnya.

“Apakah mudah? Tidak mudah saudara, jikalau ada wilayah, timbul politik serpihan untuk mencari kekuatan, dia main sentimen. Kaum aku tidak mendapat habuan... rakyat yang tidak berdosa mudah ditarik dengan sentimen membakar api perkauman,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian di hadapan kira-kira 7,000 tetamu daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan.

Perdana Menteri berkata perkara ini amat digeruni serta dikesali oleh pemimpin terdahulu dan bibit yang sama masih menghantui.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau yakin dengan jiwa merdeka dan semangat baharu rakyat, negara ini akan terus kekal harmoni.

“Tidak salah sekiranya masing-masing kaum membela nasib mereka ...tidak salah untuk kita menetapkan Islam serta mengangkat kedudukan Islam dan kepercayaan agama-agama lain, tidak salah ada perasaan untuk menjaga rantau kita, kawasan kita, kampung kita, negeri kita.

“Tetapi percayalah ini semua dapat dilakukan dengan semangat kecintaan kepada negara yang satu...,” katanya.

Justeru itu, beliau mengajak orang ramai memanfaatkan kemerdekaan negara dan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai tempat untuk rakyat berpaut antara satu sama lain.

Justeru itu, Anwar mengajak orang ramai memanfaatkan kemerdekaan negara dan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai tempat untuk rakyat berpaut antara satu sama lain.

“Percayalah, negara ini hebat kerana hebat rakyatnya, negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat, angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini.

“Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan harus semua ini diperbaiki, untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin jangan pinggirkan sesiapa. Negara ini punya keupayaan,” katanya.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju itu dihadiri oleh Menteri Kabinet, penjawat awam, jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, ahli Sekretariat Rukun Negara, ahli Kelab Rukun Negara, pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta dan orang awam.

Perdana Menteri turut menzahirkan hasrat dan harapan kerajaan tentang kepentingan menjiwai erti kemerdekaan serta terus menyemarakkan semangat patriotik bagi mengekalkan perpaduan rakyat seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan