BELANJAWAN 2024 > BERITA

Presiden Angkasa Ketuai Delegasi Malaysia Ke ICA-AP

30/08/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah akan menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi Dialog Perdagangan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) yang berlangsung pada 1 hingga 4 Sept ini di Kunming, Yunnan, China.

ANGKASA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dialog yang menghimpunkan pemimpin koperasi, pakar teknologi digital dan perwakilan dari seluruh rantau Asia dan Pasifik itu bertujuan untuk meneroka potensi e-Dagang, Digitalisasi dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha memacu kemajuan koperasi.

“Antara objektif Dialog Perdagangan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan e-Dagang dalam kalangan pengurusan koperasi serta menambah baik perkhidmatan perdagangan melalui penggunaan digital dan teknologi e-Dagang. Ia juga termasuklah menggalakkan perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C), mengukuhkan rangkaian perdagangan serantau dan integrasi ekonomi.

“Antara fokus utama dalam dialog perdagangan berkenaan adalah memanfaatkan e-Dagang untuk pertumbuhan koperasi; data besar dalam perdagangan dan perniagaan koperasi serta mengintegrasikan AI untuk tatakelola dan operasi koperasi yang baik,” kata kenyataan itu.

Pengarah Eksekutif MyAngkasa Digital Services Sdn Bhd (MDS) Muhammad Hudhaifa Ahmad selaku wakil delegasi Malaysia turut dijemput sebagai ahli panel bagi sesi dialog Data Besar dalam Perdagangan dan Perniagaan Koperasi, kata ANGKASA lagi.

Semasa lawatan kerja itu, Abdul Fattah yang juga Naib Presiden ICA-AP dan delegasi Malaysia turut dijadual menghadiri lawatan koperasi dan perbincangan dengan Yunnan Supply and Marketing Electronic Commerce Co Ltd, Koperasi Bunga Daerah Songmin dan Yunnan Mushroom Biotechnology Co Ltd serta mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dan pemimpin koperasi bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuklah potensi mengembangkan perniagaan dan perdagangan antara koperasi di Malaysia dan China.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA Datuk Abdullah Jusoh.

Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP bertujuan untuk memperkukuhkan amalan perdagangan dan perniagaan koperasi di seluruh rantau Asia dan Pasifik.

Seramai 33 ahli daripada 19 organisasi dari 13 negara menganggotai Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan