BELANJAWAN 2024 > BERITA

Rayuan MyPPP Untuk Sertai Semula BN Akan Dipertimbangkan - Ahmad Zahid

01/09/2024 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Rayuan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) untuk diterima semula sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dibawa untuk pertimbangan Dewan Tertinggi BN, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata rayuan itu dibuat pemimpin MyPPP selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengiktiraf keabsahan ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 11 April tahun lepas.

“Dewan Tertinggi BN akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tertinggi BN akan datang untuk melihat semula bukan sahaja rayuan, tetapi juga keputusan yang telah ditetapkan pihak mahkamah terhadap keabsahan MyPPP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP ke-71 di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC) di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pemangku Presiden MyPPP Datuk Dr J. Loga Bala Mohan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata untuk menerima rayuan MyPPP, ia mesti dipersetujui sebulat suara oleh Dewan Tertinggi BN.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberikan komitmen membantu MyPPP dalam permohonan rayuan kerana parti itu sebelum ini terbukti tidak pernah meninggalkan BN walaupun ketika BN menghadapi kesukaran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

“Kita lupakan soal awan hitam yang pernah menyelubungi parti ini,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata status MyPPP dalam BN ketika ini adalah sebagai antara parti Friends of BN.

MyPPP yang ditubuhkan pada 1953, ketika ini mempunyai 320,000 keahlian di 119 bahagian dan 3,119 cawangan.

RoS melucutkan pendaftaran MyPPP pada 14 Januari 2019 selepas pergolakan kepimpinan antara mendiang Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz dengan Tan Sri M. Kayveas.

Krisis berlarutan selama lima tahun berakhir pada 11 April 2023 selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran MyPPP dan mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi parti itu di bawah kepimpinan Maglin yang dipilih sebagai presiden.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan