BELANJAWAN 2024 > BERITA

Masalah Teknikal MH66: MOT Tunggu Laporan Lengkap MAB

02/09/2024 06:16 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Bhd (MAB) berhubung insiden pesawat MH66 berpatah balik awal pagi tadi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau telah berhubung dengan MAB mengenai kejadian yang dipercayai berlaku akibat masalah teknikal dan meminta mereka segera memberikan penjelasan.

“Saya telah berhubung dengan mereka (MAB). Jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal tersebut. 

“Saya telah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) di sini hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan sebuah lagi pesawat MAB dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1).

MAB hari ini mengesahkan penerbangan MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam, berpatah balik sebagai tindakan berjaga-jaga susulan masalah teknikal dengan sistem hidraulik.

Pesawat itu selamat mendarat di KLIA Terminal 1 pada 1.30 pagi tadi.

Penerbangan ke Incheon dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D dan dijadualkan berlepas 8 malam ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan