BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bantuan Guaman Rapatkan Jurang Dalam Keadilan - Tengku Maimun

03/09/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Keadilan yang menjadi sebagai asas penting masyarakat perlu boleh diakses secara universal dan bukan keistimewaan yang dikhaskan semata-mata untuk golongan elit dan kaya, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam ucaptamanya di Konvensyen Bantuan Guaman Pelajar Undang-undang Malaysia 2024 hari ini, Tengku Maimun menekankan bahawa walaupun akses kepada keadilan adalah hak asasi dan kedaulatan undang-undang melangkaui status sosioekonomi, ia bukanlah sesuatu begitu murah dicapai, meskipun keadilan terletak pada keupayaan untuk memberikan layanan yang adil dan sama rata.

"Bantuan guaman memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang keadilan bagi memastikan tiada individu dikecualikan daripada perlindungan undang-undang disebabkan halangan geografi, ekonomi atau pendidikan. Dalam erti kata lain, akses kepada bantuan guaman diterjemahkan kepada akses keadilan untuk golongan miskin, terpinggir dan kurang bernasib baik.

"Bantuan guaman berfungsi sebagai asas kepada sistem keadilan yang adil, sistem keadilan yang berkesan di bawah asas kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata hak tertuduh untuk mendapatkan representasi undang-undang sememangnya termasuk hak untuk mendapatkan representasi undang-undang yang cekap, dan kualiti perkhidmatan guaman yang diberikan kepada pelanggan bantuan guaman itu tidak boleh dikompromi semata-mata disebabkan imbuhan yang rendah.

"Adalah penting bagi peguam untuk menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mewakili pelanggan bantuan guaman mereka. Seorang peguam mesti bersedia untuk kes bantuan guaman dengan ketekunan dan ketelitian yang sama seperti mana-mana kes lain, dan mempertahankan hak serta kepentingan anak guam secara sama rata," katanya.

Tengku Maimun berkata representasi yang tidak berkesan boleh menyebabkan berlaku ketidakadilan, terutamanya dalam kes-kes membabitkan hukuman mati, malah ia sememangnya menentukan soal antara hidup dan mati seseorang.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan Pusat Keadilan Masyarakat akan ditubuhkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha Yayasan untuk meningkatkan akses kepada keadilan di negara ini.

Beliau berkata pusat perintis itu muncul sebagai bukti komitmen Yayasan terhadap keadilan yang boleh diakses dan dijangka beroperasi menjelang Januari 2025.

Hadir sama bekas Ketua Hakim Negara dan pengasas bersama Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, Tun Raus Sharif; bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, dan peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan