BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tiada Risiko Kekurangan Sarung Tangan Getah Meskipun Penularan Mpox - MARGMA

03/09/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama)— Tiada risiko berlaku kekurangan sarung tangan getah walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak cacar monyet (Mpox) baru-baru ini.

“Industri sudah bersiap sedia dengan keadaan itu. Tidak akan ada kekurangan (sarung tangan getah) kerana kami mempunyai stok sedia ada,”  kata Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Pameran dan Persidangan Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-11 (IRGCE 2024), di sini, hari ini.

Menurut laporan berita, Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada 14 Ogos lepas oleh Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Kecemasan Kesihatan Awam Bagi Keselamatan Benua (PHECS) pada 13 Ogos lepas oleh Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika, Jean Kaseya.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai potensi lonjakan permintaan akibat penularan wabak itu, Oon menekankan bahawa tidak perlu membuat pembelian panik.

Beliau berkata pemain industri sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap sebarang perkembangan terkini dalam situasi Mpox.

Sementara itu, IRGCE 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini merupakan anjuran bersama MARGMA serta Majlis Getah Malaysia dan pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Oon berkata IRGCE 2024 adalah bukti komitmen industri yang tidak berbelah bahagi terhadap inovasi, kemampanan dan kepimpinan global.

Bertemakan ‘Ke Arah Industri Sarung Tangan Getah yang Berkesan, Mampan dan Inovatif’, IRGCE 2024 mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dunia dalam pembuatan sarung tangan getah dan ekosistem.

Acara itu disertai syarikat utama industri, pakar dan pihak berkepentingan untuk mengkaji aliran terkini, inovasi dan cabaran yang membentuk pasaran sarung tangan getah global.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan