BELANJAWAN 2024 > BERITA

FAM Akan Bentang Struktur Organisasi Harimau Malaya Kepada Perdana Menteri - Hamidin

03/09/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjanji untuk membentangkan struktur organisasi pengurusan skuad Harimau Malaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia bagi merealisasikan usaha bersama badan induk bola sepak negara dan Perdana Menteri, untuk mengangkat pasukan bola sepak kebangsaan menjadi pasukan gergasi di rantau Asia.

Hamidin, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta seluruh warga FAM, turut menzahirkan terima kasih kepada Anwar atas pengumuman peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Datuk Seri Anwar dalam memberikan peruntukan tersebut, selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan skuad Harimau Malaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu ketika Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan, Anwar mengumumkan RM10 juta peruntukan kerajaan melalui Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta komitmen pihak swasta untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu juga bagi memastikan Harimau Malaya, dapat menjamin kebajikan pemainnya serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan