BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tajikistan Jadikan Pestabola Merdeka Sebagai Persiapan Harungi Kelayakan Piala Asia 2027

03/09/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Pestabola Merdeka 2024 dilihat sebagai platform penting bagi juara bertahan Tajikistan untuk menyediakan skuad terbaik mereka untuk pusingan kelayakan Piala Asia AFC 2027 yang dijadualkan bermula Mac tahun depan.

Ketua Jurulatih Tajikistan Gela Shekiladze menyatakan matlamat pasukan adalah untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut membina atas pencapaian bersejarah berjaya ke suku akhir dalam penampilan sulung mereka awal tahun ini di Doha, Qatar.

Shekiladze percaya Pestabola Merdeka akan menawarkan ujian berharga untuk mengukur kekuatan pasukannya termasuk integrasi lima pemain baharu.

“Tahun lepas ia menjadi persiapan baik untuk kami menjelang Piala Asia di Qatar kerana terdapat lawan kuat dan penganjuran (pertandingan) yang bagus. Kali ini, ia juga peluang baik untuk pemain termasuk lima pemain baharu dengan matlamat pasukan adalah layak ke Piala Asia 2027, jadi ini merupakan peluang baik untuk menunjukkan apa yang boleh kami lakukan.

“Sudah tentu tahun lepas kami menang, ia adalah masa yang menakjubkan untuk kami dan pemain mendapat keyakinan diri, tahun ini kami cuba ke final sekali lagi, tetapi bagi saya apa lebih penting adalah menyediakan pasukan untuk saingan kelayakan Piala Asia kerana kini akan ada perubahan dan pemain baru ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pra-perlawanan menjelang pertembungan separuh akhir esok antara Tajikistan dan Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Sebagai rekod, Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan akhir edisi ke-42 itu.

Sementara itu, pemain tengah Tajikistan Parviz Umarboev menjangkakan perlawanan sukar menentang Lubnan, sebahagiannya disebabkan cuaca yang disifatkannya sebagai agak panas pada waktu petang.

“Semuanya baik-baik saja tetapi satu-satunya persoalan ialah mengapa kami perlu bermain pada waktu ini (4.30 petang) kerana cuaca agak panas dan kali ini mungkin pasukan tidak dapat mempamerkan bola sepak berkualiti. Bagaimanapun, menentang lawan yang kuat, kami melakukan persediaan dengan serius dan kami mahu sampai peringkat akhir.

“Lebih-lebih lagi bagi kami, yang paling penting sekarang ialah membuat persiapan yang rapi untuk kelayakan Piala Asia,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir Pestabola Merdeka esok menyaksikan pertemuan Malaysia dan Filipina, sementara perlawanan akhir dijadualkan pada Ahad di venue yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan