BELANJAWAN 2024 > BERITA

UTP, Biovisma Jalin Kerjasama Pengeluaran Biobahan Api Lestari

03/09/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Biovisma Sdn Bhd (Biovisma), turut dikenali sebagai Green Energy Asia (GEA), memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk berkolaborasi dalam pengeluaran biobahan api lestari.

Menurut UTP dalam kenyataan, kerjasama itu bertujuan membangunkan penyelesaian yang berkesan termasuk dari segi kos untuk penjanaan biobahan api dan produk nilai tambah lain daripada minyak masak terpakai. 

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib menandatangani MoU itu bagi pihak universiti itu manakala Biovisma diwakili Pengarah Urusan Cheng Swee Siong. Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim.

Mohamed Ibrahim berkata kerjasama itu menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih mampan.           

“Dengan bekerjasama, kami boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber kami untuk membangunkan penyelesaian inovatif bagi menghasilkan biobahan api. Ini sejajar dengan usaha berterusan UTP untuk menangani cabaran alam sekitar dan memupuk inovasi dalam komuniti akademiknya," katanya.

Sementara itu, Cheng menekankan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dan potensi usaha sama berkenaan untuk mengubah landskap biobahan api di Malaysia.

"Perak mempunyai potensi besar untuk menerajui Malaysia dalam pengeluaran biobahan api daripada minyak masak terpakai. Dengan MoU ini, kami bukan sekadar menandatangani dokumen; kami komited untuk masa depan yang lebih hijau dan mampan.

“Bersama-sama dengan UTP, kami berhasrat untuk menukar sisa menjadi kekayaan dengan mewujudkan ekonomi kitaran yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti,” katanya.

Pusat Penyelidikan Biofuel dan Biokimia (CBBR) UTP yang telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, akan memainkan peranan penting dalam kolaborasi itu. 

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada projek lebih besar diterajui universiti berkaitan kerajaan iaitu  Universiti Multimedia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan UTP sendiri untuk menyahkarbon sektor perikanan tempatan.

Projek itu bermatlamat menghasilkan biodiesel sebagai bahan api untuk bot masyarakat setempat dengan menukar sisa minyak masak kepada biodiesel dan menguji prestasinya dalam enjin bot.

MoU itu juga meliputi rancangan untuk melibatkan komuniti tempatan dalam inisiatif lestari, seperti mengumpul minyak masak terpakai dari kafeteria di sekitar UTP.

Langkah itu membantu mendapatkan bahan mentah yang mampan untuk pengeluaran biodiesel justeru menyumbang kepada usaha universiti untuk mencapai kampus rendah karbon serta mengukuhkan lagi komitmen universiti terhadap kelestarian.

Hubungan simbiotik antara UTP dan Biovisma merupakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau.

Dengan menggabungkan kepakaran penyelidikan UTP dengan pengalaman industri Biovisma, kerjasama itu menyasarkan untuk membangunkan penyelesaian inovatif bagi pengeluaran biobahan api dan menyumbang kepada usaha Malaysia dan Petronas untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan