BELANJAWAN 2024 > BERITA

Prestasi Harimau Malaya Harus Setimpal Dengan Dana Diterima - Penganalisis

04/09/2024 01:18 AM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memastikan prestasi pasukan bola sepak kebangsaan setimpal dengan dana yang diterimanya, kata penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli.

 Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya untuk menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia.

Pada Januari 2022, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada FAM sebagai sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak, manakala Anwar pada awal tahun ini berkata kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan selepas Piala Asia di Qatar.

Pekan menyifatkan FAM sebagai persatuan sukan kebangsaan (PSK) paling bertuah yang pastinya dicemburui oleh banyak PSK lain kerana jumlah ‘durian runtuh’ yang diterimanya.

"Amaun yang diterima ini dilihat begitu besar dan kita risau ia tidak setimpal dengan pencapaian prestasi skuad kebangsaan pada ketika ini dan juga untuk setahun dua akan datang. Kita tahu bolasepak ini memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Namun, wujud persoalan tentang ‘integriti’ dan ‘akauntabiliti’ dalam proses penggunaan peruntukan itu, perlu kaedah pemantauan untuk memastikan peruntukan berkenaan digunakan bagi tujuan sepertimana yang diluluskan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama. 

Ketika Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan pagi tadi, Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta melalui Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta komitmen daripada pihak swasta untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu bagi memastikan Harimau Malaya dapat menjamin kebajikan pemainnya serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik. 

Anwar turut berkata akan mengadakan pertemuan bersama FAM serta secara peribadi akan memantau dan membantu dalam usaha memperkukuh pasukan Harimau Malaya. 

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan berkata pihaknya akan membentangkan struktur organisasi pengurusan skuad Harimau Malaya kepada Perdana Menteri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan