BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kilauan Perak Padam 'episod Hitam' Muhammad Ziyad

04/09/2024 06:07 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 3 Sept (Bernama) -- Kejayaan meraih pingat perak pada edisi kali ini telah memadam episod gelap menghantui jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mengambil iktibar daripada insiden berkenaan, atlet berusia 34 tahun itu hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memulakan aksi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.

Menurut Muhammad Ziyad, walaupun tidak berjaya merampas semula pingat emas namun beliau tetap berpuas hati dapat kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.

“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat  kerana sudah cuba beri terbaik tadi.

“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020)  akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada aksi akhir, Muhammad Ziyad meraih pingat perak dengan catatan 17.18 meter (m) di belakang wakil Ukraine Oleksandr Yarovyi yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas.

Rakan sepasukannya, Maksym Koval pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m.

Selepas aksi hari ini, atlet kelahiran Selangor itu terus memasang azam untuk kembali beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles dengan menyasarkan membawa pulang pingat emas buat Malaysia.

“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.

“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Pada masa sama Muhammad Ziyad mendedikasikan pingat perak dimenanginya buat bapanya Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 pada 1 Sept lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan