BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kerajaan Usaha Bawa Pulang Tujuh Rakyat Malaysia Ditahan Di Filipina

04/09/2024 02:47 PM

TANAH MERAH, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang berusaha membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram, Ahad lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan untuk membawa pulang mereka sedang berjalan dan diharap mencapai hasil positif dalam tempoh terdekat.

"Saya sudah diberi maklumat oleh Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos mengenai kejadian itu dan sekarang ini kita sedang berusaha untuk membawa balik rakyat Malaysia yang ditahan itu.

"Kita juga sedang mengenal pasti syarikat pelancongan yang menguruskan mereka untuk dihubungi kerana kes yang berlaku ini disebabkan bot yang membawa penumpang melepasi sempadan perairan Malaysia sebelum kesemuanya ditahan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.

Beliau berkata mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata trend jenayah rentas sempadan menunjukkan peningkatan terutama berkaitan pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini.

"Apa yang boleh saya katakan trend ini meningkat dan kebanyakan negara yang dikesan adalah negara jiran Thailand dan Myanmar.

"Ada situasi juga yang pergi sendiri tanpa kena tipu oleh mana-mana sindiket, semata-mata untuk pergi berjudi… bila tidak boleh balik mereka minta bantuan kita (kerajaan) untuk bawa pulang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan