BELANJAWAN 2024 > BERITA

Komuniti Perlu Jadi 'Mata Dan Telinga' Jaga Kebajikan Golongan Rentan

04/09/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Komuniti setempat perlu menjadi ‘mata dan telinga’ Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menjaga keselamatan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan mangsa keganasan rumah tangga.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata tugas melindungi serta menjaga keselamatan dan kebajikan golongan itu daripada isu pengabaian, penderaan dan keganasan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak, khususnya komuniti setempat.

"KPWKM, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan penting sebagai barisan hadapan kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera, berdikari dan berbudaya penyayang.

"Kita tidak boleh memikul tanggungjawab ini sendiri. Itu sebabnya kita ingin mendekati masyarakat kerana mereka lebih tahu apa berlaku dalam komuniti setempat mereka," katanya semasa melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@WPKL di sini hari ini.

Menyentuh mengenai direktori CBO, Nancy berkata ia panduan kepada anggota masyarakat yang memerlukan sokongan atau bantuan ahli CBO terdiri pelbagai jawatankuasa dan sukarelawan kebajikan termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan ahli komuniti. 

Beliau berkata CBO juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli komuniti di Kuala Lumpur supaya dapat menjadi rakan strategik dalam membantu kumpulan yang memerlukan serta memberi sokongan sosial kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Nancy berkata JKM telah menyalurkan bantuan kepada 541,832 penerima yang layak hingga Julai lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.

Selain itu, terdapat 160 pusat PAWE di seluruh negara dengan tambahan 33 pusat baharu tahun ini dengan jumlah warga emas berdaftar seramai 55,835 orang.

Bagi komuniti OKU pula, Nancy berkata terdapat 569 PPDK dilaksanakan di seluruh negara melibatkan seramai 567 penyelaras dan 2,786 petugas yang memberikan manfaat kepada 19,415 peserta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan