BELANJAWAN 2024 > BERITA

Insomnia Perlu Ditangani, Beri Kesan Negatif Dan Jejas Kehidupan Seharian

05/09/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Insomnia perlu ditangani kerana ia memberi impak negatif khususnya dari segi kesihatan badan dan mental sehingga menjejaskan kehidupan seharian, kata Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Michelle Chong Hui Yi.

Beliau berkata insomnia ialah gangguan yang akan menyebabkan individu mengalami kesukaran untuk tidur, susah tidur lena, kerap atau mudah terjaga walaupun mempunyai masa yang mencukupi untuk tidur.

Insomnia juga katanya, akan menjejaskan perasaan dan emosi, menimbulkan perasaan gelisah malah boleh menyebabkan individu yang berdepan dengan masalah itu menghidap penyakit jantung, diabetes jenis 2, obesiti dan strok.

“Mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti amat penting untuk memastikan seseorang individu dapat merehatkan badan dan minda. Tidak cukup tidur atau rehat mungkin menyebabkan individu mengalami keletihan pada waktu siang, mudah naik darah, murung dan sukar menumpukan perhatian dalam aktiviti harian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chong berkata berdasarkan DSM-5 (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Kelima) oleh American Psychiatric Association, individu boleh mengenal pasti masalah insomnia berdasarkan beberapa gejala seperti kesukaran untuk tidur dan kekal tidur, terjaga pada awal pagi dan tidak berupaya untuk tidur semula atau mengalami masalah sukar tidur sekurang-kurangnya tiga malam setiap minggu untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan walaupun mempunyai masa yang cukup untuk tidur.

“Simptom insomnia juga meliputi gangguan tidur yang tidak berpunca daripada masalah gangguan tidur lain seperti narkolepsi, isu pernafasan dan sebagainya serta tidak dikaitkan dengan kesan fisiologi seperti penyalahgunaan dadah dan ubat, selain masalah gangguan mental seperti kemurungan, kegelisahan atau kekeliruan turut menjadi gejala insomnia,” katanya.

Chong berkata insomnia boleh berlaku dalam kalangan individu daripada peringkat usia berbeza seperti kanak-kanak dan remaja, namun ia lebih kerap terjadi dalam kalangan orang dewasa dan kebiasaannya disebabkan perubahan dalam corak tidur serta pengambilan ubat.

“Dari segi jantina pula, golongan wanita lebih mudah mengalami masalah gangguan tidur, ini mungkin dikaitkan dengan perubahan hormon, mengandung, menopaus dan faktor-faktor lain,” katanya. 

Chong berkata beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan tidur termasuk tekanan emosi dan hidup serta tekanan jangka panjang mencetuskan reaksi yang melepaskan hormon adrenalin dan kortisol yang meningkatkan tahap kewaspadaan.

Beliau berkata pengambilan kafein atau alkohol berlebihan, waktu tidur yang tidak tetap dan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan kerana cahaya biru menyekat pengeluaran melatonin, iaitu hormon yang mengawal tidur, juga boleh menyebabkan insomnia.

Chong berkata terdapat beberapa jenis insomnia, antaranya Insomnia Jangka Masa Pendek, Insomnia Kronik, Onset Insomnia, Maintenance Insomnia dan Comorbid Insomnia.

“Insomnia Jangka Masa Pendek atau insomnia akut selalunya disebabkan tekanan, penyakit atau faktor persekitaran dan lazimnya, situasi itu akan berterusan kira-kira tiga bulan dan mungkin berkembang ke peringkat insomnia kronik sekiranya berlarutan.

“Insomnia Kronik pula ialah masalah jangka panjang yang berlaku sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama lebih tiga bulan, ia boleh disebabkan oleh masalah kesihatan lain, isu psikologi atau faktor gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata Onset Insomnia disifatkan sebagai kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan kebiasaannya mengambil masa lebih 30 minit untuk tidur manakala Maintenance Insomnia berlaku apabila individu terjaga pada tengah malam dan mengalami kesukaran untuk tidur kembali.

Comorbid Insomnia pula berlaku bersama keadaan perubatan atau faktor berkaitan psikiatri yang lain, seperti kemurungan, kegelisahan atau sakit kronik,” katanya.

Dalam pada itu, Chong berkata insomnia boleh diubati menerusi pendekatan bukan farmakologi seperti Terapi Kognitif-Tingkah Laku untuk Insomnia (CBT-I), iaitu rawatan bagi mengubah pemikiran serta tingkah laku yang menyumbang kepada masalah insomnia dan kaedah itu didapati berkesan dari segi meningkatkan kualiti dan jangka masa tidur.

Beliau berkata individu yang menghadapi masalah insomnia boleh mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor yang akan merujuk mereka kepada pakar, seperti pakar psikologi atau psikiatri, sekiranya perlu.

“Selain itu, dicadangkan ubah gaya hidup seperti mengamalkan tabiat tidur sihat, bersenam secara kerap bagi membebaskan hormon endorfin dan meningkatkan kesihatan mental, pada masa yang sama mengamalkan aktiviti atau hobi yang boleh mengurangkan stres,” katanya. 

-- BERNAMA

 

(Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini)

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan