BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bekas Jemaah Haji Disaran Jadi Duta Kecil, Kongsi Ilmu Dan Pengalaman Di Tanah Suci

08/09/2024 03:59 PM

KLANG, 8 Sept (Bernama) -- Individu yang telah menunaikan ibadah haji disarankan agar menjadi 'duta kecil' dalam membantu memberikan penjelasan kepada mereka yang bakal melaksanakan rukun Islam kelima itu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkongsian pengalaman dan ilmu antara perkara penting dalam memastikan ibadah haji dilaksanakan berjalan lancar dan jemaah tidak terkejut dengan suasana sebenar. 

"Antara perkara penting yang mereka perlu disampaikan ialah keadaan di Mina, sebab ada yang anggap perjalanan haji ini mudah tetapi banyak ujian yang akan mereka lalui di sana. 

"Jadi kalau mereka ini telah didedahkan dengan pengalaman sebenar dan ilmu yang disampaikan oleh mereka yang pernah ke sana tidaklah bakal jemaah itu nanti merungut hingga memberi kesan untuk mereka mencapai haji yang Mabrur," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata program HISHAJ telah diadakan secara berperingkat di lebih 70 masjid bermula 31 Julai lepas.

Beliau berkata selain mengeratkan ukhwah antara bekas jemaah haji, program tersebut turut memberikan peluang kepada TH untuk mendapatkan maklum balas bagi penambahbaikan dan peningkatan kualiti perkhidmatan kepada jemaah seterusnya.  

Syed Hamadah berkata bagi persediaan musim haji 1446H, TH telah menyusun program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi membincangkan permasalahan dan isu ibadat yang timbul dalam kalangan jemaah haji Malaysia. 

"TH juga akan meneruskan bimbingan kepada bakal haji 1446H dengan penganjuran Kursus Asas Haji melibatkan 13 topik yang akan dikongsikan bersama bakal jemaah di lebih 200 masjid seluruh negara, yang dijadualkan bermula Oktober ini," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan