BELANJAWAN 2024 > BERITA

ICU JPM Pantau Kemajuan Projek Sejati Madani - Muhammad Kamil

08/09/2024 06:50 PM

PADANG RENGAS, 8 Sept (Bernama) -- Unit Penyelerasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak akan terus memantau rapat perkembangan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di seluruh negeri ini.  

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata setakat ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM32 juta melibatkan 346 projek komuniti SejaTi MADANI di negeri ini. 

Beliau berkata pemantauan berkala yang dilakukan ICU JPM negeri itu untuk memastikan projek yang diusahakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berjaya dan mencapai objektifnya. 

"Pihak ICU JPM akan menerima laporan yang dikeluarkan oleh JPKK berkaitan projek yang komuniti dijalankan, kita akan minta perkembangan atau laporan terkini sesuatu projek. 

"Kemudian pihak ICU JPM akan turun ke lapangan untuk mendengar dan melihat sendiri apa jua masalah yang timbul sekali gus memastikan projek terbabit berjalan lancar mengikut masa ditetapkan," katanya ketika ditemui Bernama di Projek Ternakan Kambing SejaTi MADANI JPKK Kampung Pasir Batang Kulim di sini hari ini. 

Muhammad Kamil berkata setakat ini ICU JPM Perak telah menerima 761 permohonan SejaTi MADANI dan dijangka angka itu akan terus meningkat. 

Beliau berkata Perak merupakan negeri yang menerima geran tertinggi setakat ini dan sudah mula menampakkan hasil sejajar objektif kerajaan memberi impak positif kepada komuniti. 

"Peluang ini perlu digunakan sebaiknya oleh semua pihak dan jika kita beri komitmen yang jitu terhadap hasrat kerajaan ini saya yakin jika semuanya berjaya, mungkin kita boleh mohon kepada kerajaan untuk naikkan nilai geran pada tahun hadapan. 

"Kalau ikutkan statistik di Perak ini, kebanyakan JPKK mengusahakan projek pertanian, ternakan, perladangan dan agropelancongan yang termasuk dalam lima kategori SejaTi MADANI," katanya. 

Terdahulu, sebanyak RM7,000 disumbangkan JPM melalui Program Ziarah Kasih MADANI kepada tujuh penerima dalam kalangan B40 di beberapa lokasi sekitar Padang Rengas. 

Muhammad Kamil berkata semalam beliau turut menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga dalam Parlimen Tambun sebagai bantuan meringankan beban kos sara hidup penerima.

"Melalui program ini juga kita bertanyakan khabar penduduk,  mendengar permasalahan mereka, apa yang perlu dibaik pulih dan dalam masa sama menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri kepada keluarga terlibat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan