BELANJAWAN 2024 > BERITA

Mohamad Norza Menang Tanpa Bertanding Jawatan Naib Presiden OCA

08/09/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara hari ini.

MOM dalam kenyataan memaklumkan Mohamad Norza memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2028 pada Perhimpunan Agung OCA ke-44 di New Delhi, India.

"Bagi pihak seluruh keluarga MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Norza atas pemilihan sebagai Naib Presiden OCA.

"Ia membuktikan sifat kepimpinan dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan Pergerakan Olimpik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh benua Asia," kata Timbalan Presiden MOM Tan Sri Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan.

Sementara itu, OCA dalam kenyataan berasingan mengumumkan Raja Randhir Singh dari India, Olimpian lima kali, dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden OCA baharu.

"Jawatan Presiden, lima Naib Presiden bagi lima zon dan ahli Lembaga Eksekutif kesemuanya tiada saingan.

"Pengundian elektronik melalui tablet memerlukan majoriti mudah 50 peratus ditambah satu daripada 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan. Raja Randhir menerima 44 daripada 45 undi, dengan satu undi berkecuali," menurut kenyataan itu.

Senarai pemegang jawatan OCA bagi penggal 2024-2028:

 

Presiden: Raja Randhir Singh (India)

Naib Presiden: 

Asia Timur: Timothy Fok (Hong Kong)

Asia Tenggara: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Malaysia)

Asia Selatan: Putera Jigyel Ugyen Wangchuck (Bhutan)

Asia Barat: Dr Thani Al-Kuwari (Qatar)

Asia Tengah: Otabek Umarov (Uzbekistan)

 

Ahli Lembaga Eksekutif:

Asia Timur: Mikako Kotani (Jepun)

Asia Tenggara: Prof Dr Supitr Samahito (Thailand)

Asia Tengah: Olga Rybakova (Kazakhstan)

Asia Barat: Noora Al Jasmi (Emiriah Arab Bersatu)

Asia Selatan: tiada calon

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan