BELANJAWAN 2024 > BERITA

Usahawan Malaysia Gembira Impian Pasarkan Produk Ke UAE Tercapai

08/09/2024 06:53 PM

Daripada Lucia Terey Anak John

DUBAI, 8 Sept (Bernama) -- Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia melahirkan kegembiraan apabila impian mereka untuk memasarkan produk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi kenyataan.

Ia daripada hasil sesi padanan perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang  diadakan dengan kerjasama pasar raya terkemuka seperti Lulu Hypermarket, Lotus’s Stores Sdn Bhd dan AEON Co (M) Bhd baru-baru ini bagi mengenal pasti produk bersesuaian untuk dibawa masuk ke pasaran UAE, China, Thailand dan Jepun melalui Program Citarasa Malaysia.

Pengarah dan Pengasas produk Rhymba Hills Ciinndey Wong berkata syarikatnya adalah antara 16 syarikat PMKS yang dipilih untuk memasarkan produk di UAE.

“Kami berterima kasih kepada KPDN dan Lulu kerana memberi peluang untuk merentas (mengembangkan perniagaan) ke Dubai. Sudah lama kami intai peluang dan kini ia termakbul,” katanya  kepada Bernama pada Program Citarasa Malaysia @ Dubai.

Beliau berkata antara produk syarikatnya yang menembusi pasaran UAE ialah produk minuman botanikal seakan teh diperbuat daripada antaranya halia Bentong, daun limau purut, daun pandan dan serai.

Memandangkan UAE adalah hab untuk kawasan Timur Tengah dan Eropah, Wong berkata peluang ini tidak akan disia-siakan.

Pengarah Urusan Industri Makanan Jati Sdn Bhd Tan Poh Kong berkata peluang mengembangkan perniagaan ke negara pengeluar minyak itu sememangnya dinantikan apatah lagi produk Tepung Aroma syarikatnya sudah kukuh di pasaran Malaysia dan Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Kemboja dan Vietnam.

“Dengan harga berpatutan dan kualiti setanding produk antarabangsa, kami yakin produk kami akan mendapat tempat di sini (UAE) kerana ia merupakan tepung serba guna bersifat universal. Cuma kami perlu konsisten dengan kapasiti pengeluaran agar tidak terhenti (bekalan) di tengah jalan,” katanya. 

Pada masa ini, Tan berkata kilang syarikatnya terletak di Kota Kemuning, Selangor mampu menjana 300 hingga 400 tan tepung, dan dijangka bertambah menjelang Oktober ini apabila kilang beroperasi 24 jam berbanding 18 jam ketika ini. 

Sementara itu, Pengarah Lulu Group International (Dubai dan Northern Emirates) James Vargese berkata pelancaran Program Citarasa Malaysia membuktikan komitmen syarikat untuk mempromosikan produk malaysia seperti sayur-sayuran, makanan dan minuman serta barangan keperluang rumah di pasaran antarabangsa.

“Ia adalah pencapaian penting kerana kini terdapat lebih 1,000 produk Malaysia dijual di cawangan Lulu di UAE,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan