BELANJAWAN 2024 > BERITA

Remaja Cedera Kereta Terjunam Dari Tingkat Satu Terminal One

08/09/2024 07:06 PM

SEREMBAN, 8 Sept (Bernama) -- Seorang remaja lelaki cedera pada bahagian kepala selepas kereta dipandunya terjunam dari tingkat satu Pusat Pengangkutan Terminal One di sini hari ini akibat tertekan pedal minyak.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kejadian kira-kira 11.45 pagi itu turut menjejaskan sebuah kereta yang diparkir di bahagian bawah.

“Kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda City dipandu lelaki berusia 19 tahun sedang bergerak dari tempat parkir Terminal One untuk balik ke rumah di Seremban 2.

"Apabila tiba di lokasi kejadian di tingkat satu, pemandu telah tertekan pedal minyak dan hilang kawalan lalu terbabas melanggar pagar besi. Kereta itu seterusnya jatuh dan terkena bahagian hadapan kereta tanpa pemandu yang berada di bahagian bawah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata remaja terbabit dibawa ke sebuah hospital swasta di sini untuk rawatan manakala kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Mohamad Hatta meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes menerusi talian 014-6000 353 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

 -- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan