BELANJAWAN 2024 > BERITA

Senantiasa Waspada, Beradaptasi dan Inovatif Lindungi Aset Kritikal - Julaihi

09/09/2024 05:40 PM

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Sarawak perlu senantiasa berwaspada, beradaptasi dan inovatif dalam pendekatan melindungi aset kritikal negeri ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Datuk Seri Julaihi Narawi.

Beliau berkata tanggungjawab dalam hal keselamatan infrastruktur kritikal tidak terletak di bahu satu entiti sahaja tetapi memerlukan penyelarasan usaha antara agensi kerajaan dan rakan sektor swasta.

"Melalui perkongsian pengetahuan dan pembangunan kerangka tindak balas bersepadu secara kolaboratif dapat memperkukuh pertahanan kolektif terhadap pelbagai ancaman pencerobohan siber sehingga serangan fizikal.

"Tatkala kita mengorak langkah ke hadapan, kepentingan teknologi tidak boleh dipandang remeh. Sama ada dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk pengesanan ancaman, meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian telekomunikasi atau memastikan keselamatan grid kuasa, kemajuan teknologi adalah penting untuk kejayaan kita," katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Keselamatan Infrastruktur Kritikal di sini hari ini.

Julaihi berkata teknologi semata-mata tidak memadai kerana minda keselamatan yang proaktif perlu diterapkan di setiap peringkat tenaga kerja untuk memastikan mereka bersedia menghadapi ancaman  baharu muncul dengan penuh kecekapan dan keyakinan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata sebagai pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia dan pemain serantau yang semakin berkembang di Asia Tenggara, Sarawak Energy menyedari kepentingan memperkukuh serta melindungi infrastruktur kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi rantau ini.

“Sidang kemuncak ini menjadi platform penting untuk memajukan usaha kita, membolehkan profesional keselamatan dari dalam dan luar Sarawak Energy berkongsi pengalaman, strategi dan amalan terbaik sekali gus meningkatkan kecemerlangan keselamatan kita.

"Perbincangan hari ini mengenai topik seperti pengurusan risiko, pendekatan keselamatan proaktif dan reaktif, kerjasama awam swasta, perkongsian risikan, dan kerjasama antarabangsa akan membimbing pendekatan kita dalam melindungi infrastruktur kritikal," katanya.

Dalam satu kenyataan sempena sidang kemuncak itu, Sarawak Energy berkata acara bertemakan  ‘Building Resilience Through Security Strategies’ itu menghimpunkan hampir 400 profesional keselamatan daripada agensi dan syarikat di Sarawak untuk membincangkan cabaran utama dalam melindungi infrastruktur dan aset kritikal negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan