BELANJAWAN 2024 > BERITA

Ben Proud Dilantik Duta Kempen 'Dare To Dream' AirAsia

27/09/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Jaguh renang Britain yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Paris 2024, Ben Proud bangga dipilih sebagai duta kempen Dare to Dream oleh Air Asia, inisiatif yang bertujuan memperkasakan atlet muda di rantau ASEAN.

Atlet berusia 30 tahun itu berkongsi perjalanan peribadinya dalam mengharungi cabaran dan halangan, sambil mengenang ketabahannya hingga berjaya memenangi perak acara 50 meter (m) gaya bebas di Sukan Olimpik baru-baru ini.

“Tiga tahun lepas, saya berada di titik paling bawah dalam hidup, tidak mampu bercakap mengenai halangan yang saya hadapi.

“Namun dalam detik sukar itu, saya mendapat kekuatan untuk terus maju dan kini, berdiri di sini dengan pingat Olimpik. Saya bersyukur untuk setiap detik paling tinggi dan rendah yang saya alami sepanjang perjalanan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proud, yang kali pertama bekerjasama dengan AirAsia pada 2017 berkata inisiatif Dare to Dream selari dengan kisah dan pengalaman dilaluinya.

“Saya berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi menunjukkan kepada atlet muda bahawa walaupun dalam saat gelap, sentiasa ada jalan ke depan.

“Kembali ke Malaysia, dengan AirAsia dan bertemu semula dengan jurulatih Francis Kiu, untuk memberi inspirasi kepada perenang generasi seterusnya adalah momen yang benar-benar melengkapkan perjalanan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Brand Co Rudy Khaw kagum dengan ketabahan dan kejayaan dicapai Proud.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian Ben (Proud) di Sukan Olimpik baru-baru ini. saya tidak boleh memikirkan siapa yang lebih layak.

“Kami memulakan perjalanan dengan Ben pada 2017, dengan matlamat untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo dan dia menunjukkan kekuatannya tahun demi tahun melalui beberapa rekod dicipta, memenangi kejuaraan dunia, emas Sukan Komanwel dan banyak lagi. Walaupun terlepas podium Olimpik sebelum ini, Ben terus mencipta rekod dan tidak pernah putus asa.

“Bertepatan dengan semangat Dare to Dream, dia terus berusaha, tidak pernah hilang sasaran. Kami gembira kerana Ben kembali ke Malaysia iaitu tempat di mana kerjaya renangnya bermula,” katanya.

Proud turut serta dalam klinik Ben Proud Talent, diadakan di Akademi Renang Team Q di Petaling Jaya, sebagai sebahagian daripada inisiatif Dare to Dream, iaitu untuk berkongsi pengalamannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan