BELANJAWAN 2024 > BERITA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Kekal Kukuh Minggu Depan

28/09/2024 11:29 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives mungkin bergerak sejajar dengan pasaran tunai minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,650 hingga 1,670, dengan paras rintangan serta-merta pada 1,670 manakala paras sokongan 1,640.

"Kami menjangkakan indeks itu meningkat susulan sejumlah pembelian, didorong oleh penilaian semasa yang rendah, keadaan ekonomi bertambah baik dan pendapatan korporat yang kukuh,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan analisis teknikal, FBM KLCI telah mengalami penurunan kecil yang menandakan kemungkinan pembetulan jangka masa pendek.

Dari sudut positif, Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 20 hari berada sedikit di atas EMA 50 hari, menunjukkan aliran meningkat jangka masa sederhana, katanya.

“Bagaimanapun, jurang yang semakin kecil antara kedua-dua EMA itu menunjukkan kemungkinan keadaan tidak banyak berubah akan berlaku.

“Pembetulan pasaran semasa menawarkan peluang strategik kepada pelabur untuk mengumpul saham berharga rendah, terutama yang mempunyai perspektif jangka masa panjang,” katanya.

Thong berkata apabila pasaran mengalami penurunan, banyak saham yang pada asasnya kukuh didagangkan pada harga diskaun, menggalakkan pembelian semasa harga murah oleh pelabur nilai.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, September 2024 susut 15.5 mata kepada 1,658.5, Oktober 2024 turun 12.5 mata kepada 1,663.5, Disember 2024 menguncup 10.0 mata kepada 1,670.0 dan Mac 2025 kurang 11.65 mata.

Jumlah dagangan melonjak kepada 196,103 lot daripada 21,307 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 90,858 kontrak daripada 57,254 kontrak.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan