BELANJAWAN 2024 > BERITA

Zon Bebas Kenderaan Alternatif, Bebaskan Bandar Daripada Kenderaan Bermotor

28/09/2024 10:02 PM

MELAKA, 28 Sept (Bernama) -- Kejayaan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang dilaksanakan Melaka, mampu dijadikan platform alternatif kepada usaha membebaskan bandar daripada kenderaan bermotor di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata alternatif tersebut, bukan sahaja sebagai kaedah mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan khususnya di dalam bandar utama, tetapi sebagai satu komitmen terhadap kelestarian dan kesejahteraan rakyat serta persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

“Zon Bebas Kenderaan yang dilaksanakan di Banda Hilir di sini, merupakan satu inisiatif yang sangat memandang ke hadapan dan banyak tempat telah melihat kaedah ini sebagai alternatif kepada pembangunan yang terlalu berorientasikan kenderaan bermotor.

“Jadi, ia bukan saja dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan utama, malah dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG),” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 di sini malam tadi.

Nik Nazmi berkata beliau juga mendapat maklumat beberapa negeri turut berminat untuk melaksanakan Zon Bebas Kenderaan dan ada bandar yang telah melakukannya seperti di Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Shah Alam di Selangor, selain Kuala Lumpur sendiri dalam tempoh singkat berbanding di Melaka iaitu selama 54 jam. 

“Pelaksanaan ini perlu dilihat dengan lebih mendalam memandangkan ia melibatkan pelbagai faktor seperti kesesuaian kawasan, akses kepada pengangkutan awam dan parkir, bagi kenderaan yang datang dari luar dan ini semua perlu dikaji. Bagaimanapun saya yakin banyak bandar boleh melakukannya dengan memulakannya bagi tempoh waktu yang tertentu,” katanya.

Mengulas mengenai Anugerah Hijau Melaka 2024 yang diadakan secara dwitahunan sejak 2015, Nik Nazmi percaya ia mampu menjadi platform penting kepada agensi kerajaan, swasta, industri serta komuniti, untuk melaksanakan inisiatif hijau ke arah pemeliharaan alam sekitar dan pembangungan lestari.

“Ini juga sebagai usaha bersama kerajaan Persekutuan yang kini sedang merangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, bagi memperkukuhkan dasar-dasar berkaitan perubahan iklim dan pasaran karbon di Malaysia, sekali gus memastikan negara ini  berada pada landasan tepat dalam menangani isu perubahan iklim yang lebih jelas dan komprehensif,” katanya.

Bagi anugerah tahun ini,  empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Pembudayaan Hijau, Kategori Projek Hijau, Kategori Inovasi Hijau dan Kategori Program Komuniti Hijau dengan sebanyak 50 penyertaan daripada 30 agensi karajaan, swasta dan komuniti di sekitar Melaka.

Dalam pada itu Nik Nazmi menyambut baik cadangan Melaka untuk mewujudkan Muzium Alam Sekitar pertama di Malaysia, sebagai lokasi tumpuan pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya berkaitan amalan kitar semula, namun ia perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk bajet pembangunan bagi melaksanakannya.

“Kita akan meneliti cadangan daripada kerajaan Melaka ini sebagaimana Muzium Alam Sekitar di Jepun diwujudkan, memandangkan negeri ini jika dibuat muzium, ia boleh mendatangkan keuntungan kerana industri pelancongannya agak meriah dan semuanya bergantung kepada kelulusan bajet dalam kebolehlaksanaannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan