BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jamil Intai Badang Di Para SUKMA

28/09/2024 06:51 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 28 Sept (Bernama) -- Jurulatih skuad powerlifting negara Jamil Adam mempunyai misi tersendiri ketika membimbing skuad powerlifting Sarawak menghadapi Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini.

Jurulatih kelahiran Bumi Kenyalang itu berkata temasya kali ini menjadi medan signifikan untuk beliau menilai prestasi atlet dari setiap negeri, sekali gus mengenal pasti mereka yang layak menyertai skuad kebangsaan. 

“Kita dah perhatikan beberapa atlet muda yang berpotensi dan boleh pergi lebih jauh lagi, malah ada yang boleh kita tarik untuk program kebangsaan contohnya dari Sarawak ialah Brownson John Gustin dan Johannes Gabriel Chew.

“Selain itu, atlet Perak, Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi dan seorang lagi dari Terengganu Muhammad Shazmin Syamsuar…mereka ini adalah antara yang kita akan buat penilaian secara terperinci untuk diserap dan diberikan pendedahan awal untuk masuk ke tahap pertandingan yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa peningkatan prestasi atlet yang menyinar di Para SUKMA 2024 khususnya menerusi Kejohanan Sirkit Kebangsaan yang bakal diadakan pada Februari tahun depan. 

Jamil yang mengemudi kem powerlifting negara sejak 2014 berkata beliau lebih tertumpu untuk mencari bakat muda powerlifting bagi memastikan tempoh yang mencukupi dalam mengasah kebolehan mereka di kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Paralimpik.

“Jarak umur yang kita sasar adalah untuk habiskan satu pusingan Sukan SEA atau Paralimpik, jadi agak sukar untuk yang umur dah matang…walaupun ada nama yang disebut tadi tidak semua mendapat emas Para SUKMA tetapi mereka ada masa untuk digilap atas faktor masih dalam lingkungan belasan tahun.  

“Pada masa sama, saya nak cari atlet untuk kategori heavyweight, mungkin bukan dalam temasya ini  (Para SUKMA) tetapi dalam Sirkit Kebangsaan nanti sama ada prestasi mereka trajektori peningkatan atau tidak,” katanya. 

Menurutnya Para SUKMA juga merupakan platform bagi pihak pengurusan skuad kebangsaan melihat keperluan untuk terus memasukkan atlet yang bertanding ke dalam program Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain itu, Jamil berkata beliau turut berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan anak buahnya dalam temasya dwitahunan itu.

“Tidak ada resipi rahsia untuk kejayaan pasukan Sarawak, semuanya berkaitan dengan persembahan atlet sendiri. Kemajuan dan disiplin adalah antara kunci kejayaan mereka,” katanya.

Jamil merupakan orang penting dalam pembangunan powerlifting Sarawak, melahirkan badang Malaysia dari Bumi Kenyalang antaranya Bonnie dan pemegang pingat perak Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jong Yee Khie. 

Sarawak yang menghantar 17 atlet powerlifting pada Para SUKMA 2024, tiga daripadanya merupakan wanita, mengungguli carta keseluruhan dengan meraih 17 pingat iaitu 13 pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.

Acara berkenaan melabuhkan tirai di Kompleks Belia dan Sukan negeri semalam.

Selain itu, kelibat jaguh Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Bonnie Bunyau Gustin di venue pertandingan yang turun memberikan sokongan kepada pasukan tuan rumah, mencetuskan motivasi kepada atlet muda dalam mengikut jejak langkahnya menempa nama di persada dunia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan