BELANJAWAN 2024 > BERITA

UTM Terima 3,154 Pelajar Baharu Bagi Sesi Akademik 2024/2025

28/09/2024 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) --Seramai 3,154 pelajar baharu mendaftar ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk kohort pertama pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2024/2025 bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Dr Ali Selamat berkata daripada jumlah itu seramai 2,977 pelajar mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 177 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.

“Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM termasuklah di Fakulti AI,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga fakulti utama merekodkan bilangan pelajar tertinggi iaitu Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan seramai 503 pelajar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) (357 pelajar) dan Fakulti Sains (FS) zseramai 343 pelajar. 

Menurutnya FAI yang baharu ditubuhkan pula bakal menerima 101 pelajar bagi kohort pertama hari ini dan bakal mengikuti program Sarjana Muda AI dengan Kepujian selama tiga tahun di UTM Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ali berkata eramai 986 pelajar antarabangsa dari 37 negara bakal mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik  baharu ini dengan China mencatat bilangan pelajar baharu tertinggi iaitu 497 pelajar, diikuti Sudan seramai 140 pelajar dan  84 pelajar dari Indonesia.

Beliau berkata bagi mempertingkatkan kecekapan dan memudahkan proses pendaftaran pelajar baharu, UTM turut melaksanakan buat pertama kalinya modul e-Daftar dan e-Hostel melalui aplikasi UTMSmart yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman.

“Para pelajar yang menerima tawaran kini boleh melakukan prapendaftaran secara dalam talian. Proses ini melibatkan penghantaran dokumen penting pelajar bagi tujuan pendaftaran awal, permohonan kad matrik dan juga penetapan kolej kediaman yang dibuat melalui sistem ini.

“Selain itu, tempoh pendaftaran pada hari ini turut dipendekkan apabila para pelajar yang telah pun mengetahui nama kolej kediaman masing-masing melalui sistem terbabit dengan mengimbas kod QR melalui aplikasi UTMSmart,” katanya.

Prihatin terhadap pelajar berkeperluan khas terutamanya kategori B10 serta pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Ali berkata UTM akan merangka program khas bagi memastikan pelajar berkenaan diberikan bantuan,didikan dan pemantauan rapat selain Kolej Rahman Putra digazetkan sebagai kolej mesra OKU.

Beliau berkata pelajar baharu ini bakal mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula hari ini hingga Isnin ini untuk membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus UTM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan