BELANJAWAN 2024 > BERITA

BN Pertahan Dun Mahkota, Menang Bergaya Dengan Majoriti 20,648 Undi

28/09/2024 10:10 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini.

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini, yang turut memaklumkan 339 kertas undi ditolak selain 24 tidak dikembalikan. 

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang PRK berlangsung, yang bermula dengan hari penamaan calon pada 14 Sept lepas. 

Secara keseluruhannya, Azurawati berkata peratus pengundian pada PRK itu ialah 53.84. 

Kemenangan itu diraikan oleh pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) yang mengiringi Syed Hussien, 40, ke dewan itu pada 8.46 malam untuk mendengar pengumuman keputusan PRK tersebut. 

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon. 

Turut kelihatan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi PKR negeri Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, yang juga Penyelaras PH Kluang bagi PRK itu. 

Majoriti yang diperoleh BN hari ini hasil kerjasama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan jauh mengatasi jumlah diperoleh calonnya pada Pilihan Raya Negeri dua tahun lepas iaitu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang meraih 5,166 undi. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas. 

Data Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan jumlah pengundi DUN Mahkota ialah 66,318 orang dengan 4,437 daripadanya adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis selain 607 pengundi pos.

Proses pengundian hari ini berlangsung di 20 pusat mengundi manakala undi awal telah diadakan pada Selasa lepas dan kertas undi pos dikeluarkan pada 15 Sept. 

DUN Mahkota, yang terletak dalam Parlimen Kluang, mula dipertanding pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi oleh BN. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan