BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hannah Harap Kejayaan Para SUKMA 2024 Jadi Inspirasi Daftar Anak OKU

28/09/2024 11:24 PM

KUCHING, 28 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap pencapaian gemilang atlet di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 mampu membuka mata para ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendaftarkan mereka.

Menurut Hannah rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan hanya 700,000 kad OKU telah dikeluarkan setakat ini sedangkan dianggarkan lebih empat juta OKU masih belum berdaftar.

“Dengan kejayaan atlet dalam temasya Para SUKMA, saya yakin minat ibu bapa untuk mendaftarkan dan menggalakkan anak-anak OKU terlibat dalam sukan akan meningkat. Jadikan mereka yang meraih kejayaan cemerlang sebagai inspirasi kepada keluarga di luar sana untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang OKU,” katanya ketika berucap pada majlis Penutupan Para SUKMA 2024 di sini malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam pada itu, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada Bernama dan TVS yang banyak memaparkan berita menarik tentang kejayaan atlet  sepanjang temasya yang berlangsung selama seminggu, bermula 22 Sept lepas.

“Sebagai Menteri yang menjaga portfolio belia dan sukan, saya mahu melihat sukan sebagai medium gaya hidup sihat dan kecemerlangan bagi anak-anak serta belia. Tambahan pula, sukan mampu menjadi platform penyatuan pelbagai kaum dan budaya,” katanya.

Sarawak selaku tuan rumah Para SUKMA 2024 muncul juara keseluruhan dengan 82 pingat emas, sekali gus mengekalkan status juara buat kali ke-14.

Lebih 1,200 atlet dari 15 negeri bertanding dalam Para SUKMA 2024, menyaksikan 22 rekod kebangsaan dan 71 rekod Para SUKMA berjaya dipecahkan.

Pada temasya kali ini, perenang Sabah Shahafiq Abdullah, dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik manakala Atlet Wanita Terbaik menjadi milik pemanah recurve dari Pahang, Loh Chi Hui.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan