BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kemenangan Syed Hussien Bukti Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan

28/09/2024 11:36 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mencerminkan sokongan dan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata kejayaan calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya itu juga membuktikan semangat kebersamaan antara parti komponen dalam gabungan tersebut. 

“Kita bekerjasama sebagai satu ketumbukan Pakatan Harapan (PH) dan BN. Kita bahagi-bahagikan tugas supaya kita dapat saling menyokong antara satu sama lain dan tetap berpegang kepada semangat PH sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan dengan BN antara rakan utama kita," katanya. 

Syed Ibrahim berkata demikian semasa ditemui selepas pengumuman keputusan rasmi PRK itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong. 

Beliau juga berharap Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk DUN Mahkota bagi menjaga nama baik Kerajaan Perpaduan pada pandangan rakyat. 

Syed Ibrahim berkata PH Johor sentiasa bersedia membantu dan memberikan kerjasama penuh kepada Syed Hussien bagi tujuan itu.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi pula menyifatkan kemenangan itu sebagai kenangan manis buat ‘Pasukan Perpaduan Kluang’ yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen selain membuktikan formula Perpaduan yang diketengah pada pilihan raya berkenaan diterima oleh Bangsa Johor. 

Wong, yang juga Penyelaras PH Kluang bagi PRK DUN Mahkota, berharap kerjasama itu tidak terhenti dengan berakhirnya pilihan raya tersebut sebaliknya diteruskan kerana manfaatnya cukup besar kepada penduduk Johor. 

PRK hari ini menyaksikan BN mempertahan kerusi DUN Mahkota selepas Syed Hussien menang bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan