BELANJAWAN 2024 > BERITA

MDEC, MATRADE Mudah Cara Lebih 150 Padanan Perniagaan Berpotensi Di Tokyo Game Show 2024

29/09/2024 01:05 PM

Daripada Durratul Ain Ahmad Fuad

TOKYO, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memudah cara lebih 150 padanan perniagaan yang berpotensi untuk 10 studio dan syarikat Malaysia semasa Tokyo Game Show (TGS) 2024.

Ketua Transformasi Digital MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata sesi pemadanan perniagaan itu  membolehkan studio dan syarikat Malaysia bekerjasama secara berkesan dengan syarikat asing, khususnya dari Jepun.

Beliau berkata maklum balas yang diterima berkaitan TGS 2024 yang berlangsung mulai 26 hingga 29 Sept, 2024 itu adalah sangat menggalakkan, terutama untuk Pavilion Malaysia secara keseluruhan.

“Kita berharap tahun depan dan masa akan datang, lebih banyak penyertaan daripada syarikat tempatan kita, terutama dalam permainan video, animasi dan teknologi, kerana ini akan membolehkan mereka mengembangkan usaha niaga mereka ke luar negara.

“Syarikat Malaysia juga boleh datang ke sini untuk mempunyai sekurang-kurangnya persepsi mengenai perkara yang dicari oleh pemain atau studio antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerjasama dengan MATRADE adalah penting kerana usaha itu akan membolehkan perkongsian antarabangsa dengan syarikat tempatan, menarik pelaburan asing ke dalam negara dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam rantau ASEAN.

Bertemakan ‘Trailblaze the World of Gaming’, Pavilion Malaysia di TGS 2024 menampilkan 10 syarikat permainan video Malaysia, mempamerkan inovasi mereka ke pasaran global di samping meneroka peluang untuk jalinan kerjasama dengan pembangun permainan video antarabangsa, pencipta kandungan dan syarikat teknologi.

10 syarikat itu ialah Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios.

Aktiviti utama di Pavilion Malaysia termasuk mesyuarat peringkat tinggi, pemadanan perniagaan dan rangkaian dengan penerbit permainan video dan inkubator teknologi Jepun, termasuk Bandai Namco Studio, Nintendo dan IMDA Singapura.

Penglibatan MATRADE dan MDEC dalam TGS 2024 itu sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap industri permainan video dan kandungan digital, sebuah sektor keutamaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Eksport kandungan permainan digital Malaysia dijangka menunjukkan potensi ketara tahun ini, dengan Jepun muncul sebagai pasaran utama ketika unjuran industri permainan video global mencecah US$187.7 bilion (US$1 = RM4.12) pada 2024.

Industri itu merekodkan eksport bernilai RM1 bilion pada 2022 merentas 120 pasaran dan wilayah, dan industri itu berkembang pada lapan peratus setiap tahun.

Sementara itu, penerbit permainan video Jepun Bandai Namco menyasar untuk bekerjasama dengan pembangun permainan video Malaysia, iaitu Passion Republic dan Virtuous Kuala Lumpur, untuk membantu dalam membangunkan karya asli dan harta intelek (IP).

Pasaran permainan video Jepun diunjurkan mencecah 66 juta pengguna menjelang 2029 dan menjana pendapatan US$44.41 bilion menjelang akhir 2024, menjadikannya antara pasaran permainan video terbesar dunia.

Pasaran permainan video global diunjurkan mencecah US$503.14 bilion pada 2025, dengan Asia Pasifik kekal sebagai pasaran permainan video utama dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan