BELANJAWAN 2024 > BERITA

BMI Unjur Defisit Malaysia Susut Di Bawah 4 Peratus Pada 2025

30/09/2024 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- BMI, unit Fitch Solutions, mengekalkan unjuran terhadap defisit belanjawan Kerajaan Persekutuan lebih rendah berbanding 5.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, kepada 4.3 peratus pada 2024, dan seterusnya 3.9 peratus pada 2025.

Menurut firma penyelidikan itu, setakat ini pada 2024, Kerajaan Perpaduan telah mencapai kemajuan yang ketara untuk mengawal perbelanjaan.

BMI yakin kerajaan akan terus berusaha ke arah matlamat jangka sederhana untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025.

“Dalam pada itu, kami terus mengunjurkan perbelanjaan akan kekal mengikut unjuran kerajaan,” kata BMI dalam nota hari ini.

Jumlah perbelanjaan telah mencapai 56.0 peratus daripada sasaran 2024 dalam tempoh tujuh bulan pertama, sejajar dengan purata lima tahun sebanyak 55.0 peratus, katanya.

“Kerajaan Perpaduan menghentikan subsidi diesel secara menyeluruh pada 10 Jun, satu langkah yang dijangka menjimatkan sehingga RM4.0 bilion setiap tahun.

"Kami menyifatkannya sebagai keperluan memandangkan gaji kakitangan awam akan meningkat lebih RM10.0 bilion, menjadikannya sebagai semakan yang pertama dalam tempoh lebih sedekad," kata firma itu.

BMI menjangkakan rasionalisasi subsidi seterusnya akan memenuhi sasaran fiskal, mengekalkan unjuran perbelanjaannya menyusut sedikit kepada 19.4 peratus daripada KDNK pada 2024, lebih rendah daripada 20.3 peratus pada 2023.

Selain itu, BMI menekankan bahawa di bawah rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk 2024-2026, yang menyasarkan purata defisit 3.5 peratus daripada KDNK, Akta Tanggungjawab Fiskal, yang diluluskan pada 11 Okt 2023, mewajibkan kerajaan mengurangkan defisit di bawah 3.0 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Sekiranya ini berlaku, kami menjangkakan lebih banyak langkah penting akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2025 akan datang untuk mencapai sasaran jangka sederhana ini," katanya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), BMI mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar pada 3.00 peratus untuk tempoh berbaki tahun ini dan sepanjang 2025, dengan potensi penurunan pada 2026.

"Inflasi yang baik dan prospek pertumbuhan kukuh menunjukkan BNM berupaya untuk mengekalkan OPR pada paras semasa dalam tempoh yang panjang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan